SEORANG lelaki mengalami kecederaan parah selepas diserang seorang individu bersenjatakan kapak dalam kejadian di daerah Bundi, India pada Selasa lalu.
Polis perbandaran Kapren, Subinspektor Kamal Singh memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati serangan tersebut adalah bermotifkan dendam.
Menurutnya, suspek menyerang mangsa yang juga rakannya kerana ingin membalas dendam atas kematian isterinya dalam kemalangan jalan raya pada tahun lepas.
“Mangsa yang dikenali sebagai Banwari Meena, 40, mengalami kecederaan parah di kepala.
“Dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta dan keadaannya masih kritikal,” katanya pada Khamis.
Serangan dilakukan ketika orang ramai sedang menyaksikan acara kebudayaan kira-kira pukul 11.15 malam, Selasa.
Kejadian tersebut sempat dirakam salah seorang pengunjung di situ sebelum dimuat naik di laman X (Twitter) @jaina111.
Menerusi rakaman itu, suspek Tejmal Gurjar, 45, dilihat menyusup dari tirai pentas sebelum menghayunkan kapak ke arah kepala mangsa yang duduk bersila menonton persembahan itu.
Selepas menetak kepala rakannya dengan kapak, Gurjar bertindak melarikan diri dan masih belum dapat diberkas sehingga kini.
Mengulas mengenai motif serangan itu, Kamal Singh berkata, Banwari dan Tejmal bersama keluarga mereka pernah terlibat dalam kemalangan pada Jun tahun.
Ujarnya, insiden berlaku selepas kenderaan yang dipandu Banwari hilang kawalan hingga menyebabkan isteri Tejmal terbunuh.
“Tejmal menganggap Banwari bertanggungjawab atas kematian isterinya dan sedang mencari peluang untuk membalas dendam.
“Semasa acara kebudayaan sedang berlangsung di kampung mereka, dia menyerang Banwari yang duduk di atas pentas ketika itu.
“Menerusi video tular di media sosial, Tejmal dilihat masuk dari sebalik tirai di sudut pentas dan menetak kepala Banwari dengan kapak,” jelasnya.
Turut baca :
Leave a Reply