Bakal jemaah tipu status kesihatan ‘kantoi’ di tanah suci

Bakal jemaah tipu status kesihatan ‘kantoi’ di tanah suci.

Tindakan segelintir bakal jemaah haji negara ini yang cuba merahsiakan status sebenar tahap kesihatan peribadi akhirnya terdedah sendiri ketika mereka ada di tanah suci.

Keadaan itu terbukti apabila penyakit tidak berjangkit yang sepatutnya mustahil dihidapi bakal jemaah dapat dikesan oleh doktor di Klinik Pesakit Luar, Pusat Rawatan Tabung Haji di sana.

Antaranya ialah kes penyakit darah tinggi tidak terkawal dan kencing manis tidak terkawal serta serangan jantung, jangkitan kuman pernafasan atas, radang paru-paru dan lelah atau asma.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya mengenai ketelusan proses saringan kesihatan di tanah air apabila bakal jemaah yang ada penyakit tersebut masih lagi dibenarkan menunaikan haji.

Sedangkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi menetapkan protokol amat ketat bagi bakal jemaah luar negara termasuk berusia bawah 65 tahun, lengkap vaksinasi dan bebas penyakit.

Jika betul ada yang disahkan berpenyakit, senario itu membuktikan kesahihan laporan Utusan Malaysia pada 9 Mei lalu mengenai ada bakal jemaah sengaja ‘menipu’ kesihatan diri mereka.

Turut baca

Tindakan mereka itu ternyata menafikan hak puluhan ribu bakal jemaah selain lebih 1,000 individu tersebut yang menolak tawaran kerana bercakap jujur dan mengakui rekod kesihatan diri.

Malah, wartawan Utusan Malaysia juga gagal dalam saringan meskipun kadar glukosa tinggi sedikit dalam badan masih lagi boleh dipertimbangkan dengan membawa bekalan ubat tertentu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ada bakal jemaah yang datang ke klinik agensi berkenaan turut mengalami penyakit berkaitan kulit seperti rekahan

“Selain itu ada kalangan mereka dikesan alahan, manakala penyakit lain seperti tekanan haba, dan kepenatan tubuh badan,” katanya yang kini berada di Mekah menerusi kenyataan akhbar.

Beliau mengakui keadaan cuaca panas terik dan kering ketika ini di Mekah dan Madinah boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dengan langkah pencegahan perlu diambil serius.

Ibadah itu ujar beliau, memerlukan kekuatan fizikal dan emosi tinggi memandangkan keadaan di Tanah Suci yang sentiasa penuh sesak selain jangkitan penyakit yang kerap boleh berlaku.

Klinik Pesakit Luar di pusat tersebut mula beroperasi pada 6 Jun lalu dan kedatangan pesakit tambah beliau, semakin meningkat tetapi hampir keseluruhan kes boleh dirawat serta dicegah.

Noor Hisham turut menasihatkan bakal jemaah agar mengikuti segala panduan kesihatan awam bagi membolehkan urusan ibadah mereka dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

“Jemaah perlu dirawat awal di Klinik Maktab di Mekah atau zon di Madinah jika bergejala bagi pengesanan dan seterusnya mengelak komplikasi penyakit menjadi lebih teruk,” tegas beliau.

Mereka juga disarankan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan berisiko serta mengamalkan kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan, etika batuk dan amalan selalu minum air.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*