Azam Baki perjelas tindakan reman Bendahari Agung Bersatu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tindakan reman ke atas Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Salleh Bajuri baru-baru ini dibuat mengikut kehendak dan keperluan kes.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan itu dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan kehendak siasatan ketika itu.

“Kita sebagai agensi penguatkuasa mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan penahanan dibuat atas kuasa budi bicara pegawai penyiasat.

“Saya menyerahkan kepada pegawai penyiasat saya dan mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (Uitm) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertikai penahanan Salleh oleh SPRM memandangkan parti itu telah memberi kerjasama penuh kepada agensi itu sejak Januari lalu.

Hamzah dilaporkan berkata, tiada sebab munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman terhadap Salleh atas alasan siasatan.

Salleh ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.

Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*