KONFLIK antara menantu perempuan dan ibu mentua bukanlah perkara baharu yang berlaku dalam masyarakat kita.
Malah masalah yang sering berlaku dalam alam perkahwinan itu bagaikan tidak berkesudahan sehingga ada yang memilih penceraian sebagai jalan penyelesaian.
Menerusi hantaran tular, seorang wanita berkongsikan pertelagahan yang berlaku antaranya dengan ibu mentua sepanjang tempoh perkahwinan.
Meskipun terpaksa mengharungi suasana yang tidak harmoni bersama ipar duai, namun dia masih mampu menarik nafas lega apabila suaminya sentiasa berpihak kepadanya.
Bukan itu sahaja, suaminya juga sanggup menjauhkan diri daripada keluarga sendiri demi menjaga hatinya.
“Selama ni saya cuba bersabar, cekalkan hati tapi kali ni saya betul-betul kecewa sebab saya dah berbulan tak balik rumah mentua atas alasan saya kecil hati.
“Dahulu memang selalu balik rumah mentua, tapi setelah hati saya disakiti berkali-kali, saya cakap dengan suami nak rawat hati dulu dan dia memahami saya,” luahnya memulakan cerita.
Berharap konflik yang dialami tidak berterusan, dia tidak menyangka situasi yang berlaku pada minggu lalu menyebabkan hubungannya dengan keluarga mentua semakin renggang.
Ia berikutan suaminya enggan menghadiri majlis kahwin di rumah saudara-maranya.
“Minggu lepas kerja kahwin rumah saudara belah suami, saya cuba pujuk untuk dia pergi walaupun saya masih terluka sebab fikirkan hati mentua.
“Tapi suami tak mahu pergi walaupun sekadar balik hari sebab dia fikirkan perasaan saya.
“Tiba-tiba adik suami mesej dengan mengatakan seolah-olah suami saya anak lelaki yang tak berguna, abaikan tanggungjawab dekat ibu bapa dan adik-beradik sebagai anak lelaki sulung,” luahnya.
Lebih menyedihkan apabila, ibu dan ayahnya turut menghantar mesej yang sama selain menyatakan kebahagiaan boleh dicari tetapi orang tua tiada ganti.
Susulan mesej yang diterima itu, dia menangis sedih dan merasakan pengorbanan sebagai seorang isteri mahupun menantu tidak dihargai.
“Suami pujuk kata jangan layan tapi saya terasa sangat. Sudahlah luka lama belum hilang parut, lagi ditambah luka berdarah.
“Saya sekalipun tidak pernah larang suami untuk balik rumah ibu bapanya… betul orang kata, menantu selamanya dianggap orang luar,” katanya lagi.
Mendedahkan punca dia menjauhkan diri, wanita ini mendakwa dia sekeluarga sering menjadi mangsa cemuhan dan sindiran keluarga mentua.
Mentuanya juga gemar membanding-bandingkan anaknya dengan cucu yang lain.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya memuji suaminya yang bersikap bijak dan bertanggungjawab.
“Baiknya suami awak, satu dalam sejuta. Mesti awak orang baik sebab tu suami memihak awak, jarang suami nak memihak isteri kalau melibatkan ibu dia.
“Baik jaga hati sendiri, hidup berumah tangga memang macam ni, kita sebagai menantu tetap menantu.
“Tindakan awak tu betul, biarlah apa orang nak cakap… orang tak akan tahu dan faham apa yang kita rasa melainkan dia pernah alaminya,” demikian nasihat beberapa warga maya di ruangan komen.
Turut baca :
Leave a Reply