Awas! Tuduhan liwat, penjenayah qazaf diancam seksaan neraka

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor kesal dengan tindakan sekumpulan lelaki yang mengulangi kembali tuduhan lama terhadap seorang pemimpin melakukan perbuatan liwat.

Wan Salim berkata, agama Islam amat mengambil berat dalam memelihara kehormatan insani dan tindakan kumpulan itu seolah-olah meremehkan jenayah qazaf yang dilarang keras agama.

Katanya, hukuman ke atas pelaku jenayah itu juga dijelaskan dalam surah An-Nur ayat 19 iaitu dikenakan sebanyak 80 kali sebatan sekiranya tidak mendatangkan empat orang saksi yang menyaksikan perbuatan itu secara tidak meragukan sama sekali.

“Penjenayah qazaf juga dikenakan hukuman moral-sosial dengan tidak diterima penyaksiannya selama-lamanya di samping hukuman keagamaan iaitu dia dianggap seorang fasiq yang diancam dengan seksaan neraka di akhirat nanti sebagaimana difahami daripada satu ayat di dalam surah as-Sajdah.

“Islam tidak membenarkan seorang Muslim melontar ungkapan buruk ke atas saudaranya, baik di hadapan mahupun dalam ketiadaannya, sebaliknya Islam mengajar umatnya supaya menutup keaiban mana-mana individu di samping menghormati privasinya,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 30 saat di aplikasi TikTok menunjukkan sekumpulan lelaki mengulang kenyataan pemimpin utama negara sebagai peliwat.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, Islam juga melarang umatnya mencari-cari keaiban sesama Muslim malah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud ‘sekalian umatku dimaafkan dosanya kecuali seseorang yang sengaja melakukan perkara keji secara berterangan’.

Katanya, Rasulullah juga bersabda kepada seorang lelaki yang memaksa Ma’iz supaya mengaku perbuatan zina sehingga dia dihukum: “Alangkah baik jika engkau menutupnya dengan pakaianmu!”

“Sehubungan itu, seluruh masyarakat Islam di negara ini diseru supaya menghindari jenayah qazaf serta mengelak diri daripada terjatuh ke dalam jurang dosa besar, yang mana pelakunya diancam dengan balasan seksaan api neraka.

“Malah, bagi menakutkan masyarakat daripada melakukan jenayah ini maka hukuman yang maksimum perlulah dikenakan ke atas pelakunya tanpa belas kasihan supaya masyarakat dapat dibersihkan daripada anasir keji ini.

“Selain itu, perlu ditegaskan bahawa saya membuat kenyataan ini tanpa sebarang niat bagi membela orang tertentu tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*