Artis wanita Kelantan ‘kantoi’ bersama pil kuda – ‘Saya yakin dia tidak bersalah, mungkin mangsa keadaan’ – Eddie Hamid

Artis wanita Kelantan ‘kantoi’ bersama pil kuda, ini komen Eddie Hamid. “Saya terkejut bila mendapat tahu berita penangkapan itu. Sebab selama mengenali penyanyi wanita terbabit, dia seorang yang miliki personaliti baik, cakap lemah lembut, menghormati orang dan senang bekerjasama,” kata komposer lagu Kelantan terkenal, Eddie Hamid.

Eddie atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Adenan, 62, berkata, sukar untuknya mempercayai berita penangkapan yang tersebar itu pada awalnya dan menganggap penyanyi berkenaan mungkin ‘terjerat’ dalam keadaan kerana berkumpulan.

“Saya yakin dia (penyanyi wanita) tidak bersalah. Cuma, mungkin mangsa keadaan sebab dia ke sana (Sungai Golok, Thailand) secara berkumpulan. Apapun, saya doakan yang terbaik untuk urusannya.

“Saya harap dia okay sebab undang-undang dadah di Thailand tidak sama dengan undang-undang di Malaysia. Bagaimanapun, inilah yang dinamakan ujian kehidupan.

“Tapi, saya sebenarnya ada kerjasama baharu dengannya untuk merakamkan dua lagu. Salah satunya, dia akan masuk ke studio untuk rakaman lagu pada esok, tapi kenalah ditangguhkan dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga sama ada bercadang mahu menukar penyanyi lain, Eddie berkata, dia tidak akan berbuat demikian kerana menyifatkan lagu yang diciptanya sesuai dengan vokal wanita berkenaan.

“Saya akan tetap tunggu dia hingga kes (dadah) selesai. Ini kerana, dua lagu yang sudah dicipta memang sesuai dengan vokalnya. Lagi pun, saya juga belum tahu sama ada dia betul-betul bersalah atau tidak kerana masih disiasat.

“Saya sudah pun mengirimkan kepadanya demo lirik lagu yang akan dirakam dan dia tahu perancangan masuk studio rakaman. Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah dugaan Allah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai enam individu termasuk seorang penyanyi wanita popular di Kelantan antara ditahan di Sungai Golok, Thailand berkaitan kes dadah.

Artis wanita itu dikatakan pernah mempopularkan lagu dengan dialek Kelantan yang tular dan menjadi fenomena.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*