Apakah kesan jika terlalu kerap menonton filem seram?, ini penjelasan pakar

Kebelakangan ini, banyak filem seram yang ditayangkan di pawagam seperti Evil Dead Arise, Sewu Dino, Khazab, The Ghost Station dan pelbagai lagi pilihan di aplikasi penstriman seperti Netflix dan seangkatannya.

Babak-babak yang memaparkan darah dan pembunuhan luar biasa yang melibatkan jentera seperti yang ditayangkan dalam filem Saw merupakan antara elemen yang digunakan dalam pembikinan filem seram.

Selain itu, sinematografi, kesan bunyi dan lagu juga memainkan peranan penting untuk menimbulkan rasa seram, gementar dan ketakutan.

Walaupun ada yang berasa takut dan mengelak daripada menonton cerita-cerita seram, ada juga yang seronok menikmati rasa terkejut dan takut ketika menonton filem sebegitu. Tidak salah jika menonton filem genre ini sekali sekala, tetapi jika terlalu obses, ada juga keburukannya.

Siapa di antara anda yang gemar menonton cerita seram? Silakan duduk dan baca artikel ini dengan lanjut untuk mengetahui bagaimana menonton terlalu banyak filem seram, thriller dan gore memberi kesan kepada kesihatan.

Kesan fisiologi

Filem seram mengandungi helah psikologi yang mencipta ilusi ketegangan dan bahaya melalui pemanipulasian imej, bunyi dan cerita. Walaupun otak anda sedar bahawa ancaman itu bukan kenyataan, badan anda pada masa yang sama menterjemah keadaan itu seolah-olah ia benar berlaku.

Seorang pakar psikologi, Sally Winston menerangkan bahawa ketika menonton filem seram, jantung anda berdegup kencang, peningkatan adrenalin dan paras perhatian semakin menjadi semakin rendah, meskipun mempunyai kesedaran bahawa anda berada di rumah atau teater dan tidak diancam dalam dunia realiti.

Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Disebabkan filem seram dihasilkan untuk menimbulkan ketegangan, ketakutan, tekanan dan kejutan, ia juga boleh menyebabkan pembebasan hormon seperti norepinephrine, kortisol dan adrenalin daripada sistem saraf autonomi.

Anda mungkin dapat melihat tindak balas fisiologi daripada hormon ini melalui pembeliakan anak mata, peningkatan kadar denyutan jantung dan ketegangan otot.

Kesan kepada kualiti tidur

Meskipun adrenalin menyumbang kepada pengalaman keseluruhan filem, jika dirembeskan dalam kadar yang tinggi yang tinggi ia boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur.

Pengarah Media Psychology Research Center, Dr. Pamela Rutledge berkata euphoria atau keseronokan yang dirasakan selepas menonton filem seram menyebabkan emosi dan tenaga badan menjadi lebih aktif, bukan menenangkan.

Justeru itu, meskipun mereka menikmati naik turun emosi dan saspens, ia akan menyebabkan kesukaran untuk tidur. Mendapatkan tidur malam yang nyenyak dan mencukupi adalah sangat penting untuk kesihatan mental dan fizikal.

Kesan kepada kesihatan mental

Kekurangan tidur pula akan menyebabkan kesihatan mental lebih teruk kerana ia akan menjejaskan cara otak memproses emosi pada hari berikutnya dan boleh meningkatkan emosi negatif.

Kajian juga membuktikan bahawa jika tidak tidur atau mengalami kesukaran untuk tidur selama tiga malam atau lebih berturut-turut boleh mengakibatkan kesukaran untuk membezakan realiti dan ilusi, khayal serta halusinasi.

Bagi individu yang lebih sensitif, mereka cenderung mencampur-adukkan imej atau babak dalam filem ke dalam mimpi. Ini bermakna seram pada skrin boleh mencetuskan mimpi ngeri, yang terbukti boleh mengganggu tempoh tidur nyenyak dan menyebabkan tidur terganggu atau tidak berkualiti.

Jika filem seram membuat anda terjaga pada waktu malam, mungkin berbaloi untuk mempertimbangkan semula pilihan tontonan anda.

Kesan positif

Walaupun penuh dengan elemen geli, jijik dan menjengkelkan, filem seram juga boleh memberi kesan positif kepada penonton. Secara amnya, orang yang menonton filem seram cenderung untuk menikmatinya atas pelbagai sebab, jadi bagi kebanyakan penonton, ia adalah kesan positif.

Menonton filem seram juga boleh menjadi peluang untuk mengatasi ketakutan seseorang kerana mereka perlu menahan perasaan seram.

Selain itu, ia juga bagus untuk individu yang mempunyai masalah kerisauan (anxiety) dan Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). Walau bagaimanapun, dapatkan pendapat doktor atau ahli psikologi dahulu sama ada ia akan memberi kesan positif atau tidak.

Akhir kata, tidak salah jika anda suka menonton filem genre ini tetapi jangan keterlaluan. Tetapkan had dalam beberapa filem atau drama seram yang anda dibenarkan untuk menonton dalam sebulan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*