Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya reformasi dilakukan untuk mengurangkan dominasi orang Melayu dalam perkhidmatan awam.
Katanya, kerajaan tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor itu sebagai masalah ketika ini.
“Perkara ini kita tidak buka saluran untuk kita pertimbangkan kerana keadaan sekarang saya tidak fikir itu satu masalah,” katanya menurut Bernama.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy menerusi hantaran di Facebook meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu dan mahu Anwar segera menangani isu itu serta memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini.
Anwar berkata, cadangan itu hanya pandangan peribadi Ramasamy dan tidak mewakili pendirian DAP atau kerajaan.
“Kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan), tetapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan,” katanya.
Laporan tahun lalu mendedahkan kira-kira 90% daripada 1.2 juta penjawat awam adalah Bumiputera.
Leave a Reply