Anwar ‘sebak’ terima pesan terakhir Allahyarham Ismail Haniyeh

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang berkongsi pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham Ismail Haniyeh ketika menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baru iaitu Masoud Pezeshkian di Tehran baru-baru ini, berkata ketua biro politik Hamas itu sempat berpesan supaya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meneruskan perjuangan untuk Palestin.

“Habis sahaja upacara angkat sumpah dia (Haniyeh) menoleh ke belakang dan melihat saya (soalan) pertama dia tanya, How is Anwar Ibrahim? (Apa khabar Anwar Ibrahim?)

“Dia kata kepada saya sila pulang dan beritahu Anwar teruskan perjuangan mulia beliau.

Anwar 'sebak' terima pesan terakhir Allahyarham Ismail Haniyeh
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul

“Malam ini saya nak sampaikan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa As-Syahid Ismail Haniyeh meminta dia supaya memimpin kita dan terus berjuang untuk anak-anak di Palestin,” katanya di Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Johari, dia cuma tersedar Haniyeh telah terbunuh apabila melihat pergerakan tentera cukup banyak.

“(Saya) bertanya apa terjadi dan mesej datang bertalu-talu bahawa Ismail Haniyeh dibunuh di rumah,” katanya.

Sementara itu, Anwar kelihatan sebak ketika menyampaikan pidatonya dan mengakui hatinya luka dengan pembunuh pemimpin Hamas dan rakyat Palestin yang berterusan di bumi Gaza.

“Demikian kenyataan politik hari ini. Saya tidak mampu berbicara, hati saya juga luka. Pesan juga daripada sahabat saya, Ismail Haniyeh (yang disampaikan Johari).

“Saya juga bingung, apa lagi yang mampu aku lakukan? Kita tidak ada pilihan. Siapa kata saya berani sangat? Tapi saya hanya mewakili saudara-saudara menjalankan tanggungjawab.

“Saya terfikir dan bimbangkan nasib rakyat dan negara. Saya mahu Malaysia ini gagah, ekonominya hebat dan politiknya stabil, rakyat bersatu-padu dan maju, tapi saya juga ada perikemanusiaan dan tidak mahu rakyat dizalimi dan orang Palestin dijadikan hamba abdi.

“Maka, saya bertanggungjawab bersama saudara-saudara, bangkit memperjuangkan rakyat Palestin,” katanya, disambut tepukan gemuruh ribuan hadirin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata usaha untuk membela hak, kebebasan dan kemerdekaan Palestin sudah lama diperjuangkan negara ini, malah ia amat sebati dengan jiwa rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, kita akan lakukan sedaya upaya kita dan suarakan pandangan kita tidak kira depan sesiapa.

“Kita akan bantu yang sakit, sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari untuk diberikan rawatan. Kita akan teruskan tanpa tolak ansur.

“Kerajaan akan peruntukkan dana. Saya bincang dengan Gabenor Bank Negara Malaysia,” katanya.

Anwar berkata, lebih 40,000 rakyat Palestin dibunuh, namun Israel yang bertanggungjawab atas kekejaman itu disanjung di Barat dengan terbaru, perdana menterinya, Benjamin Netanyahu diberi ruang bercakap di Kongres Amerika Syarikat.

Justeru, katanya Malaysia tidak akan memperdulikan pandangan Barat atau mana-mana negara yang mahu menentukan siapa yang harus negara ini perjuangkan.

“Sementara kita bekerjasama dengan semua kelompok termasuk pihak berkuasa Palestin, kita berjumpa (Presiden Palestin) Mahmoud Abbas, kita tetap pertahan hak Hamas sebagai pejuang dalam gerakan membebaskan hak Palestin dan Gaza,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga akan sedaya upaya terus berjuang demi Palestin berpandukan kepada prinsip keadilan dan kemanusiaan.

“Saya harap kita jangan henti bicara isu Palestin hari demi hari, jangan henti bantu dan sedekah ringankan beban Palestin, saya mahu Malaysia dalam sejarah (dikenang) sebagai negara yang konsisten dan bersungguh-sungguh memperjuangkan rakyat Palestin,” katanya.

Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena malam tadi memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia kekal berada di belakang Palestin dan terus menuntut kemerdekaan negara itu daripada rejim Zionis Israel.

Ini kali kedua ia diadakan selepas acara sama berlangsung di Axiata Arena pada 24 Oktober tahun lalu, susulan pembunuhan Haniyeh di Tehran pada Rabu lalu dipercayai didalangi oleh rejim Zionis.

Antara program dilaksanakan adalah Pidato Solidariti Palestin, bacaan puisi dan persembahan nyanyian, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*