Anwar beri bayangan dana pilihan raya PN dari syarikat perjudian

Anwar beri bayangan dana pilihan raya PN dari syarikat perjudian. Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, dia berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

Terdahulu, dia turut menegur pentadbiran PN yang diketuai Bersatu dan PAS kerana menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun.

Langkah itu dibuat pada akhir 2020.

Kata Anwar, selaku menteri kewangan, dia telah memutuskan bilangan cabutan khas judi akan kembali dikurangkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

Kekayaan PN membingungkan

Sejumlah pihak sebelum ini mempersoalkan sumber dana kempen PN yang dilihat mereka di luar kemampuan gabungan itu.

Ia termasuklah dakwaan penyelewengan RM600 bilion ketika PN menjadi kerajaan persekutuan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata dia tidak pasti bagaimana angka itu boleh timbul dan bertanya jika ada yang tertukar dengan peruntukan RM530 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi ketika pentadbirannya.

Tidak jelas apa yang dirujuk Anwar ketika dia berkata Kementerian Kewangan mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Namun Anwar berkata siasatan akan dibuat bagi memastikan jika ada sebarang penyelewengan atau korupsi berlaku.

Namun, antara projek kerajaan terdahulu yang kini diperhatikan adalah kontrak rangkaian 5G, yang menurut Anwar dibuat tanpa tender.

Projek Digital Nasional Berhad (DNB) melibatkan peruntukan RM20 bilion.

Tengok cermin

Sementara itu, Anwar turut membalas kritikan sesetangah pihak yang membangkitkan kleptokrasi – walaupun mereka sendiri tidak lepas dari kesalahan.

“Menarik apabila pihak yang menggunakan ‘kleptokrasi’ sebagai kritikan tapi mereka sendiri dicurigai (compromised).

“(Ada banyak) urus niaga besar memanfaatkan anak atau keluarga mereka (sons or children or in-laws).

“Saya perlu ingatkan mereka, jika anda benar-benar mahu menanganinya (korupsi) anda perlu bersedia untuk jadi benar-benar telus, dan disiasat,” katanya lagi.

Dia sekali lagi mengulangi cabaran kepada PN dan pihak lain yang melontarkan kritikan untuk membuat pengisytiharan harta.

Dia juga menyuarakan keyakinan kabinetnya akan mematuhi peraturan yang ketat bagi menjamin tata kelola yang baik.

Berkenaan Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi timbalan perdana menteri di saat berdepan perbicaraan rasuah, Anwar berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan hirarkinya dalam Umno.

Sementara orang ramai berhak mempersoalkan kritikan itu, katanya, perbicaraan terhadap Zahid masih berjalan dan proses undang-undang itu juga perlu dihormati.

Anwar beri bayangan dana pilihan raya PN dari syarikat perjudian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*