Anwar ada asas lantik Zahid sebagai TPM walaupun sedar rakyat marah – Shamsul. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai asas tertentu, apabila menamakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Timbalan Perdana Menteri I.
Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengakui keputusan itu diambil, sungguhpun wujud nada kemarahan dalam kalangan rakyat.
“Semasa sarapan di Parit 19 tadi, pelbagai reaksi diterima mengenai Kabinet YAB Perdana Menteri @anwaribrahim, khususnya pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang rata-rata mengundang kemarahan.
“Namun, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri tentunya berasas – ibarat kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.
Ahmad Zahid dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri I dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, juga akan memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau yang juga Presiden UMNO pernah menjawat jawatan itu sebelum ini di bawah kerajaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mendakwa, jika BN menyertai kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid akan diberi peranan yang sama.
“Walaupun saya tidak bersetuju dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pasti (Pengerusi PN, Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) akan melakukan perkara yang sama jika BN berpihak kepadanya dan PN. Begitulah kuasa kleptokrat,” katanya dalam ciapan di Twitternya.
Untuk rekod, dalam dua tempoh pentadbiran Perdana Menteri yang turut disertai oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, Ahmad Zahid tidak tersenarai sebagai anggota Kabinet.
Ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengetuai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuh dengan sokongan UMNO dan BN, Ahmad Zahid, yang sedang berdepan kes mahkamah tidak berada dalam Kabinet.
Begitu juga ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, yang disokong oleh PN, Ahmad Zahid, juga kekal tersisih daripada menganggotai Kabinet.
Leave a Reply