Pemilik sebuah resort persendirian di Pulau Lang Tengah dipanggil memberi penjelasan esok susulan penularan beberapa gambar dan poster penganjuran parti liar di kawasan peranginan itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Razali Idris berkata pertemuan itu turut membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta, kita akan bertindak.
“Kita akan teliti terlebih dahulu jawapan daripada pihak premis swasta tersebut, sebelum apa-apa tindakan diambil, sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit,” katanya menurut Sinar Harian memetik portal rasmi kerajaan Terengganu.
Poster dan gambar tular sejak semalam menunjukkan wanita berpakaian seksi menghadiri parti liar dinamakan “Aloha Party” didakwa diadakan di Pulau Lang Tengah yang mendapat dikritik warganet ia tidak sesuai diadakan di Terengganu.
Razali meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.
“Jika ada bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut.”
Leave a Reply