‘Aniaya’ murid, guru GISBH dipenjara 10 tahun

Seorang guru dihukum penjara 10 tahun hari ini kerana menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Hakim Mahkamah Sesyen Klang Noridah Adam menjatuhkan hukuman tersebut selepas Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, mengaku bersalah atas empat tuduhan.

Hukuman diperintah bermula pada tarikh tangkapan, lapor Sinar Harian.

Mengikut tiga tuduhan, Muhammad Barur Rahim sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun didakwa menganiaya dengan merotan semua mangsa, yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Menurut tuduhan keempat pula, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan menekan dada menggunakan lutut, yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di pusat GISBH Bukit Raja antara Jun dan beberapa minggu lalu.

Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, lelaki bujang yang tidak diwakili peguam itu merayu mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana dia telah insaf, selain perlu menanggung ibu bapa.

Saya benar-benar tekad dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan sama. Saya perlu menanggung ibu bapa, jadi kalau boleh saya mohon ringankan hukuman, katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh berkata, tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan semua mangsa namun tindakannya menganiaya kanak-kanak itu adalah melampau.

“Mangsa ini masih bersekolah, namun perbuatan tertuduh menyebabkan mereka mengalami trauma untuk meneruskan pendidikan di mana-mana sekolah.

Kami mohon hukuman berjalan secara berasingan dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi keperluan tertuduh, katanya.

Pada 16 Sept lepas, polis memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan beberapa kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit, yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021, dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam video tersebut, kanak-kanak lelaki itu dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*