Seramai lapan warga Malaysia termasuk seorang bekas pensyarah universiti tempatan yang disyaki terkait dengan elemen radikalisme Daesh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan penahanan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat pada 22 dan 23 Jun lalu dalam satu operasi serentak di empat negeri.
“Kesemua suspek ditahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang iaitu Bab VIA – Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Siasatan awal polis terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi Polis DiRaja Malaysia.
“Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Razarudin Husain serta Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Abdul Aziz Abdul Majid.
Katanya, tangkapan lapan suspek itu adalah susulan daripada operasi sebelumnya pada 15, 17 dan 30 Mei lalu. Serbuan terbaru itu dibuat di Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.
Tiada kaitan kes serang Balai Polis Ulu Tiram
Saifuddin berkata pihak polis tidak mengaitkan tangkapan terbaru ini dengan serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
“Kita takkan kait perkara itu kerana operasi dilakukan oleh Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman adalah usaha berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, Saifuddin mengingatkan masyarakat supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baru oleh elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan.
“Ketika ini, terdapat perkembangan teknologi moden yang menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman membahayakan.
“Justeru itu, kerajaan menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini.
“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan terbabit,” katanya.
Jelasnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerajaan memberi jaminan terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.
Turut baca :
Leave a Reply