Anak dipenjara kes dadah, Noralbaniah kuat tapi ‘terduduk’

“Ini ujian untuk saya, Alhamdulillah saya kuat”.

Demikian luahan pelakon senior, Noralbaniah mengulas insiden hitam membabitkan anak tunggalnya, Syarra Sudarman yang terkait dengan penyalahgunaan dadah sekitar Oktober tahun lalu.

Menurut pelakon berusia 54 tahun itu, pada awalnya memang sukar untuk berdepan masyarakat, namun reda dengan ketentuan Allah selain kembali kepadaNya yang membuatkan hatinya tenang.

Katanya, sebagai ibu dia telah melaksanakan tanggungjawab mendidik permata hatinya itu sebaik mungkin, tetapi tidak mampu menyekat pergaulan selepas anaknya itu meningkat dewasa.

“Tiada emak bapa yang mahukan anaknya menjadi begini, apatah lagi terjerumus dengan benda seperti itu. Semuanya berlaku tanpa saya duga.

“Ramai yang menyalahkan saya. Syarra bukan budak bawah umur yang boleh dikawal atau disekat pergaulannya kerana dia sudah berumur 28 tahun.

“Tetapi benda dah jadi, saya kena berlapang dada. Semua ini pengajaran. Mungkin ini menjadikan seseorang itu lebih baik kemudian hari,” katanya pada majlis tayangan filem Vik2ria Secret arahan AR Badul, semalam.

Kongsi aktres popular 1990-an itu mengimbas detik penahanan dan penangkapan anaknya juga hanya diketahui menerusi panggilan seorang wartawan.

“Saya mahu memohon maaf kepada pihak media yang menghubungi saya tetapi saya tidak dapat membalas panggilan itu sebab saya hanya dapat tahu pun melalui wartawan berkenaan.

“Bayangkan perasaan saya ketika itu, terduduk dan terkejut bila dimaklumkan mengenainya. Saya jadi kaku.

“Saya bukan pengguna media sosial yang bangun pagi terus tengok berita terkini. Jadi, saya tahu daripada panggilan media dan sangat terkejut,” katanya.

Mengulas perkembangan Syarra, Noralbaniah berkata, Syarra sudah keluar penjara pada Mac lalu dan kini dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, Syarra elok sahaja. Saya pergi melawatnya di Melaka dan kerana berkelakuan baik, Syarra dibenarkan keluar awal.

“Bukan tiada didikan agama mahu pun tak habis belajar. Dia lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

“Saya tak nafikan, mungkin Syaeea salah pilih kawan, tetapi saya tak mahu cakap lebih sebab kejadian ini sudah berlaku.

“Itulah satu-satunya anak saya bersama arwah Sudarman. Saya berkahwin dengan arwah hanya dua tahun dan tidak berkahwin selepas kematian arwah,” kongsinya.

Sebelum ini Syarra mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah dan dikenakan hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain perlu menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Syarra didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah pada jam 11.45 pagi pada 12 Oktober tahun lalu.

Atas kesalahan itu, wanita tersebut dikenakan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh ditahan.

Pertuduhan kedua pula apabila didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah jam 3 petang pada tarikh sama.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*