“Ambil peluang ini” – Ustaz Wadi Annuar kongsi kelebihan pada malam ‘Nisfu Syaaban’

Pada bulan ini, akan datangnya satu malam yang amat penting bagi umat Islam di seluruh dunia iaitu malam Nisfu Syaaban

Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar berkongsi tentang kelebihan malam tersebut mengikut hadis sahih.

Beliau berkata kelompok terbaik umat Nabi Muhammad SAW iaitu Salafussoleh telah menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakan ibadah serta doa.

Secara ringkasnya, golongan Salafussoleh atau salaf al-Soleh adalah kelompok sahabat Rasulullah SAW dan juga kelompok tabiin iaitu golongan Islam awal yang bersahabat dengan sahabat Baginda selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Bulan Syaaban antara bulan yang banyak Nabi Muhammad berpuasa

Menurut Ustaz Wadi, malah isteri Baginda iaitu Saidatina Aisyah R.A juga pernah berkata bulan Syaaban juga merupakan salah satu bulan dari 12 bulan Islam di mana Rasullah paling banyak berpuasa.

“Antara salaf yang perbanyakan ibadat dengan berlumba-lumba, antaranya ialah Imam Makhul, Khalid bin Ma’dan dan lain-lain.

“Imam Syafie kata ada lima malam mustajab doa, malam raya Aidilfitri, malam raya Aidiladha, malam Jumaat, malam hari pertama Rejab dan malam Nisfu Syaaban,” katanya.

Ustaz Wadi saran umat Islam perbanyakan ibadah dan doa

Susulan itu, Ustaz Wadi menyarankan kepada semua umat Islam agar memperbanyakan berdoa kepada Allah SWT pada malam tersebut.

Menurutnya lagi, dalam satu sanad hadis yang sahih, Allah SWT melihat kepada semua hamba-NYA kemudian Allah mengampunkan dosa pada Nisfu Syaaban kecuali mereka yang bermusuhan.

“Maka kita ajak sanak saudara dan keluarga kita pada 24 Februari hari Sabtu selepas Maghrib untuk sama-sama memperbanyakan ibadat dan doa pada malam itu,” katanya lagi.

Semoga apa yang kita hajatkan, Allah akan makbulkan pada malam tersebut. Amin.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*