Amaran turun berdemo, polis siasat Pemuda PAS Selangor

Amaran turun berdemo, polis siasat Pemuda PAS Selangor. Polis merakamkan kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dan merampas telefon bimbitnya, semalam. Ini berhubung hantarannya di Facebook, yang memberi amaran akan mengadakan perhimpunan besar-besaran jika kerajaan meneruskan siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurut catatan Facebook Sukri, dia dipanggil hadir ke ibu pejabat polis daerah Shah Alam pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 505 adalah menyentuh mengenai kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam, manakala Seksyen 233 pula adalah penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Saya telah memberi keterangan pada pihak PDRM ditemani peguam Saudara Ahmad Amzar.

“Telefon bimbit saya telah dirampas untuk siasatan. Terima kasih teman-teman hadir menyokong dan pihak media yang membuat liputan. Kita berani kerana benar,” katanya.

Siasatan adalah berhubung hantarannya di Facebook pada 29 November lalu yang bertajuk “Jangan Cuba Mengganggu Tuan Presiden PAS”.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, yang terletak di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.

Malaysiakini telah menghubungi unit komunikasi korporat Bukit Aman untuk mendapatkan ulasan lanjut.

Sukri dalam hantarannya memberi amaran kepada kerajaan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengheret Abdul Hadi ke Bukit Aman untuk siasatan polis.

Katanya, Pemuda PAS Selangor akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sekiranya “tindakan tidak munasabah ini” diteruskan.

“Himpunan besar-besaran akan diadakan! Kami tak akan berundur!” tulisnya.

Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas kepada laporan Malaysiakini, yang menurut polis bahawa mereka telah membuka siasatan terhadap Abdul Hadi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*