AMANAH Kelantan : PAS cuba kurangkan kuasa Raja-raja Melayu?

Amanah Kelantan tampil mempersoalkan tujuan Abdul Hadi bercakap mengenai bidang kuasa Lembaga Pengampunan terhadap pesalah jenayah.

Pengarah Biro Kanun Amanah Kelantan Hisham Fauzi juga mempersoalkan apakah kenyataan anggota Parlimen Marang itu bermaksud untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.

“Adakah sama ada cadangan PAS (kenyataan Abdyl Hadi) ini bermaksud untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu? Kerana kuasa pengampunan ini adalah salah satu kuasa Raja-raja Melayu.

“Adakah mereka bersedia untuk melaksanakannya dahulu di negeri-negeri yang mereka (PAS) perintah seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis? Cubalah di negeri PAS sekiranya benar seperti apa yang dimaksudkan dan dikatakan presiden PAS itu,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar, Johor malam tadi turut berkata PAS mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

“Termasuk (mengenai) pengampunan. Kes jenayah dalam Islam, yang berhak mengampun adalah mangsa jenayah. Kalau dia mati, (melibatkan) kes bunuh, adik beradik dia, ibu bapa dia atau wali dia yang berhak mengampun, bukan lembaga pengampunan.

“Lembaga pengampunan ini ialah Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri, peguam negara,” katanya.

Tambahnya, selain itu PAS juga mahu waris atau mangsa sesuatu perbuatan jenayah diberikan pampasan.

Namun, dakwa Abdul Hadi langkah tersebut mendapat tentangan pihak lawan PAS, khususnya DAP dan Amanah dan “sebahagian Umno”.

Sementara itu Hisham berkata, kenyataan Abdul Hadi itu seolah-olah menyalahkan parti Amanah, Umno, dan DAP dalam keadaan undang-undang yang ada pada hari ini.

Sedangkan katanya PAS ketika wakil rakyatnya menjadi menteri hal ehwal undang-undang sebelum ini juga tidak mengambil sebarang langkah untuk melakukan sebarang pindaan atau perubahan terhadap undang-undang sedia ada.

“Undang-undang berkaitan dengan pengampunan yang ada hari ini sudah pun lama terdapat dalam Perlembagaan Malaysia, sejak penubuhan negara Malaysia lagi.

“Ia telah diterima pakai sejak sekian lama, sekiranya PAS ingin membawa apa-apa pindaan atau perubahan kenapa mereka tidak lakukan semasa menjadi kerajaan dahulu? Selama 33 bulan mereka menjadi kerajaan dan berada dalam kerajaan, malah pada satu ketika mereka memegang jawatan menteri undang-undang, kenapa pada masa itu pas tidak laksanakan segala yang mereka perkata ini?

“Pada hari ini PAS tampil menyalahkan parti-parti dan pihak-pihak lain terhadap satu undang-undang yang sekian lama wujud dan diamalkan di negara kita. Jelas bahawa PAS hanya ingin bermain retorik politik dan bukan untuk membawa menyelesaian kepada masyarakat, tidak menyumbang kepada kebaikan negara dan tidak membawa negara ke arah yang lebih baik.

“Mereka hanya mahu gunakan segenap isu, ruang dan perkara untuk memenuhi tujuan politik mereka sahaja. Sebaliknya mereka gagal semasa menjadi kerajaan dan sekarang mereka gagal juga semasa menjadi pembangkang,” kata Hisham.

Berita penuh : MKINI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*