AMANAH cabar Hadi arah gantung kuasa Lembaga Pengampunan di negeri PAS

Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah Faiz Fadzil membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan hak Lembaga Pengampunan untuk mengampunkan pesalah kes jenayah.

Kata Faiz, Abdul Hadi sengaja membangkitkan isu ini untuk memfitnah parti pemerintah atas nama sentimen agama.

Justeru, Faiz mencabar PAS mengusulkan pemansuhan kuasa Lembaga Pengampunan di Dewan Undangan Negeri bagi Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang ditadbir parti itu.

“Kenyataan presiden PAS yang mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu ini menunjukkan suatu usaha PAS untuk merungkai perlembagaan.

“Abdul Hadi sendiri sedar bahawa Lembaga Pengampunan adalah kuasa yang diberikan kepada Yang Di Pertua Agong bagi kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kepada Sultan ataupun Raja bagi negeri.

“Maksudnya, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang memegang dua per tiga majoriti sepatutnya membuat satu usul di DUN masing-masing menggesa peruntukan perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa pengampunan kepada Raja di negeri masing-masing dimansuhkan dan menggantung pelaksanaan kuasa pengampunan tersebut jika PAS jujur dengan perjuangan Islam,” katanya.

Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Agong “memberi ampun tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang Dipertua Negeri sesuatu negeri berkuasa memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya”.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Abdul Hadi berkata, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Menurutnya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

Mengulas lanjut, Faiz berkata “dakyah baru” PAS itu adalah bagi menutup kelemahan PAS yang gagal melaksanakan hukum hudud dan meminda Akta 355 ketika menjadi kerajaan pusat dahulu.

“Ini menunjukkan politik PAS sangat tidak bertanggungjawab kepada negara dan PAS sanggup berbuat apa sahaja demi mendapat kuasa politik,” katanya.

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*