Altimet ‘tawar’ bantu bayar denda Selangor FC

Penyanyi dan komposer, Altimet menawarkan untuk menyumbang separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini bagi membantu membayar denda skuad Selangor FC (SFC) susulan penarikan diri pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih 10 Mei lalu.

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga Adun Lembah Jaya berkata, beliau sedia berbuat demikian jika SFC sudi menerima tawarannya.

“Saya akan sumbang separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bayar denda ini jika SFC sudi,” katanya ringkas di laman X dengan menyertakan pautan berita berhubung hukuman ke atas Skuad Gergasi Merah itu.

Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan SFC didenda RM100,000 dan dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 atas ketidakhadiran mereka dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Skuad itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL yang jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan berlangsung tanpa penonton.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih selepas bintangnya, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*