JOHOR BAHRU – Kegembiraan enam sekeluarga mandi-manda sambil memancing di sebuah anak sungai di Taman Pulai Perdana di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas.
Dalam kejadian pada pukul 3.38 petang itu, mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Difahamkan, bapa yang berusia 33 tahun membawa lima anaknya masing-masing berusia 2 hingga 16 tahun ke anak anak sungai itu untuk beriadah.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba II Khairul Anuar berkata, semasa mandi-manda lima anak kepada lelaki terbabit didapati lemas.
“Bapa mangsa berjaya menyelamatkan empat daripada lima anaknya manakala anak kedua tidak sempat diselamatkan.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) melakukan operasi mencari dan menyelamat ke atas mangsa sebelum remaja itu dijumpai 4 meter dari tebing sungai.
“PKO melakukan bantuan pernafasan (CPR) selama 40 minit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khairul berkata, mangsa diserahkan pasukan polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
Turut baca :
Leave a Reply