Aksi kejar-mengejar sejauh 16 kilometer berakhir selepas kereta dipandu lelaki terbabas

CUBAAN seorang lelaki meloloskan diri daripada diperiksa dengan memecut keretanya sejauh 16 kilometer (km) dari Jalan Pinggiran Senawang hingga Rembau, Negeri Sembilan pada Isnin gagal apabila berjaya ditahan polis.

Adegan kejar-mengejar itu berakhir selepas kereta dipandu suspek terbabas dekat Rembau, malah kejadian itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pada pukul 7 petang itu, polis yang menjalankan tugasan operasi bersepadu telah melihat sebuah kenderaan Proton Gen2 daam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis kemudian mengarahkan pemandu yang juga suspek berusia 52 tahun supaya memberhentikan keretanya di Jalan Pinggiran Senawang.

“Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri dengan memandu laju ke arah Rembau dan sampai di persimpangan Ulu Sepri kenderaan dipandu suspek hilang kawalan serta terbabas melanggar perumahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Rembau,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Mohamad Hatta, pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai barang salah, namun semakan kad pengenalan mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai kes menghalang penjawat awam dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*