Agus pelik Hadi salahkan Anwar tapi tidak Mahathir

Kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam yang menyalahkan Anwar Ibrahim sebagai punca masalah dihadapi Kelantan adalah “merisaukan” kata Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Menurut ketua pengarahnya, Mohammad Agus Yusoff, melalui kenyataan dibuat itu Abdul Hadi menyalahkan Anwar semata-mata selepas mengaitkan isu tersebut dengan jawatan ahli parlimen Tambun itu sebagai menteri kewangan.

Kata Agus, Anwar hanya menjadi menteri kewangan pada 1991 sehinggalah dipecat dari parti dan kerajaan pada 2 Sep 1998, serta menjadi perdana menteri baru enam bulan iaitu sejak 24 Nov tahun lalu.

“Peliknya, kenapa presiden PAS tidak dipersalahkan Dr Mahathir Mohamad yang menjadi bos kepada Anwar pada 1991?

“Mengapa tidak dipersalahkan juga menteri kewangan sebelum dan selepas Anwar pada 1998?” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Semalam Abdul Hadi menuding jari kepada Anwar kerana didakwanya menjadi punca kerajaan Kelantan – dan negeri lain yang ditadbir PAS – disekat daripada menerima bantuan pusat.

Tak boleh ditegur

Katanya kesukaran tersebut berlaku ketika PAS gigih berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan.

“Akan tetapi, PAS menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan pusat, bermula dengan Kelantan, sejak zaman perdana menteri sekarang menjadi menteri kewangan sehingga kini,” katanya.

Menurut Agus dia berasa “pelik” melihat bagaimana PAS cuba menyelesaikan isu di Kelantan apabila parti itu menjadi kerajaan pusat antara 2020 dan 2022 lalu.

“Saya pelik, selama 33 bulan semasa menjadi kerajaan pusat, apa yang PAS buat untuk bantu Kelantan? Adakah bersuara menuntut hak Kelantan?

“Usahkan bersuara, (kes) royalti minyak yang sedang dibicarakan di mahkamah pun ditarik balik,” katanya.

Tambah bekas pensyarah universiti itu, memang mudah untuk seseorang menyalahkan pihak lain dan mengabaikan kelemahan sendiri walaupun ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Sepatutnya kata Agus sebagai kerajaan yang mentadbir Kelantan sejak 1990, PAS mempunyai idea dan perancangan bagi memajukan negeri berkenaan.

“Tetapi sayang, ideanya kering. Banyak kelemahan kepimpinannya disembunyikan dengan menggunakan isu bangsa dan agama.

“Inilah yang merisaukan saya. Berpuluh tahun menjadi kerajaan, masalah keperluan asas negeri tidak selesai.

“Jika ditegur, muncul pengkritik tegar yang marah-marah sedangkan tujuan teguran itu adalah untuk kebaikan negeri dan rakyat,” katanya.

Justeru Agus menyeru anak muda dan rakyat Kelantan – termasuk yang ada di negeri lain – agar mencari kaedah bagi memajukan kampung halaman mereka.

“Penyelesaiannya mudah, rakyat Kelantan patut keluar dari kepompong PAS dan memilih pemimpin yang komited untuk membangunkan negeri itu,” katanya.

Turut baca : Jangan sorok gula, tiada pembelian bersyarat – Salahuddin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*