“Aduh ngerinya…” Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh kondo 35 tingkat

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Jalan Perdana 3/10 Pandan Perdana, Ampang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 2.20 petang daripada pengawal keselamatan kondominium terbabit.

Beliau berkata, mangsa adalah anak ketiga pasangan suami isteri warga Indonesia yang sudah lima tahun menetap di negara ini.

“Siasatan mendapati mangsa terjatuh dari sebuah unit kediaman terletak di tingkat 35 dan dia dibawa ibunya ke kediaman itu untuk membasuh serta melipat kain penghuni di situ sebagai kerja sambilan.

Turut baca

“Sebelum kejadian, wanita itu meninggalkan anaknya tidur seorang diri di ruang tamu rumah sebelum turun ke bawah untuk membasuh pakaian di sebuah premis dobi.

“Ketika berada di tingkat bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun sebelum dia turut sama melihat apa yang berlaku dan terkejut selepas mendapati mayat yang dikerumuni itu adalah anaknya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa dipercayai terjaga dari tidur ketika ibunya tiada dan membuka pintu gelongsor sebelum memanjat kerusi yang ada di balkoni.

“Mangsa anak ketiga daripada tiga beradik dan dua lagi adik beradiknya berada dalam jagaan neneknya di negara asal.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*