BELUM lagi habis tempoh idah, wanita ini sudah merencanakan perkahwinan baharu.
Lebih mengejutkan apabila rancangan tersebut adalah untuk perkahwinan kali ketiganya.
Meskipun ada yang beranggapan dia mudah bertemu jodoh, namun bagi ahli keluarganya, tindakan tersebut sangat memalukan.
Susulan itu, adik lelakinya meluahkan kesedihan di laman Facebook bagi mendapatkan pandangan warga maya tentang masalah yang dialami.
Memulakan cerita, pemuda berusia awal 20-an ini berkata, kakaknya telah bercerai sebanyak dua kali dan ingin berkahwin untuk kali yang ketiga.
“Saya telah menjadi wali untuk perkahwinan pertama kakak ketika masih di bawah umur kerana bapa kami telah meninggal dunia dan saya adalah waris terdekat.
“Tetapi perkahwinan pertama tidak bertahan lama, saya menandatangani borang persetujuan sebagai wali tanpa persetujuan daripada ibu saya dahulu.
“Malah pada masa itu, saya tidak tahu dia hamil luar nikah dan usia kandungan telah masuk enam bulan,” luahnya.
Menurutnya, atas dasar simpati dan rasa sayang kepada kakaknya, dia sekali lagi menjadi wali untuk perkahwinan kedua wanita itu.
Pada masa sama, dia sangat berharap supaya perkahwinan kedua kakak akan kekal selamanya.
Namun tanpa disangka, perkara sama terjadi apabila rumah tangga yang dibina kali kedua turut berakhir dengan penceraian.
“Sekarang, kakak telah habis tempoh idah dan bakal berkahwin untuk kali ketiga. Mungkin pada tanggapan sahabat-sahabat semua jodoh dia mudah dan diringankan oleh Allah.
“Tapi pada tanggapan saya, dia telah menjatuhkan air muka saya sekeluarga dan membuat seperti perkahwinan adalah perkara main-main seperti cinta monyet zaman sekolah.
“Saya sebagai wali rasa terbeban kerana perlu memikul beban malu dan beban dosa andai saya biar perkara ini diteruskan,” tambahnya.
Malah situasi yang dialami itu menyebabkan dia membuat keputusan untuk menjadi wali enggan.
Bagaimanapun, pemuda ini bimbang sekiranya dia dikenakan denda kerana dianggap menghalang perkahwinan kakaknya itu.
“Apakah solusi dan tindakan yang saya boleh lakukan kerana saya enggan mewalikan kakak untuk kali ketiga?
“Adakah saya boleh dikenakan saman atau denda oleh Mahkamah Syariah kerana menjadi wali enggan?” dia meminta pendapat netizen.
Menjengah ke ruangan komen, segelintir warga maya tidak bersetuju dengan alasan malu yang dinyatakan pemuda terbabit.
“Mungkin perkahwinan kali ketiga kakak bawa kebaikan untuk dirinya, siapa yang tahu kan? Doakanlah untuk kakak awak dan jangan hanya memandang keburukan serta dosa sahaja.
“Kalau wali tak mahu, kakak boleh isi borang wali enggan dan awak kena jawab punca tak mahu jadi wali tu nanti.
“Pertama, siasat betul-betul perkahwinan pertama dan kedua tu gagal sebab apa. Andai sebab suami, jadilah wali untuk perkahwinan ketiga dan jika punca disebabkan kakak, buatlah pilihan terbaik.
“Alasan tidak mahu jadi wali sebab malu jika kakak bercerai lagi adalah alasan yang tidak munasabah. Penceraian tidak menjadi dosa ke atas awak sebagai wali tapi keengganan mewalikan pernikahan kakak kerana malu jika bercerai, itu boleh jadi dosa,” demikian pandangan warga maya.
Turut baca :
Leave a Reply