Seorang pekerja pemasangan jubin direman tujuh hari kerana disyaki merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya berumur 14 dan 11 tahun sejak awal tahun ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Suhaila Shafi’uddin, bermula hari ini, bagi membantu siasatan lanjut.
Berdasarkan laporan polis, suspek disyaki merogol anak perempuan berusia 14 tahun di rumah mereka, di sini, sejak Januari lalu tanpa diketahui ahli keluarga yang lain termasuk isterinya.
Namun kira-kira jam 2.30 petang semalam, adik mangsa berumur 11 tahun dikatakan ternampak suspek sedang merogol kakaknya itu, melalui tingkap rumah mereka ketika pulang dari sekolah.
Mangsa yang menyedari kepulangan adiknya itu segera meminta pertolongan sebelum suspek didakwa bertindak memakai semula seluar. Difahamkan ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana bekerja di kedai jahit di bandar ini.
Mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada ibunya yang pulang ke rumah pada sebelah petang menyebabkan wanita itu membawanya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum hasil pemeriksaan mendapati remaja berkenaan telah dirogol.
Wanita itu kemudian membawa anaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 10 malam hari sama.
Bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah taman perumahan tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Malah, adik mangsa berumur 11 tahun mendakwa bahawa dirinya juga pernah menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh bapa kandung mereka itu.
Kes rogol disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kes amang seksual fizikal pula, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang juga memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Turut baca :
Leave a Reply