Adibah Noor meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas

Adibah Noor meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas.

Penyanyi dan pelakon serba boleh Adibah Noor meninggal dunia pada 7.45 malam tadi di sebuah hospital swasta di ibu negara, selepas mengalami sesak nafas.

Adibah Noor meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas
Adibah Noor

Berita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon Emylia Rosnaida.

“Allahuakbar sedihnya, terkejut dapat berita ni. Sahabat kita yg versatile Adibah Noor @adibahnoormohdomar, baru sahaja meninggal dunia,” katanya dalam muat naik sekitar 8 malam.

Selebriti disenangi ramai dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar itu berusia 51 tahun.

Minggu lalu, namanya kembali menjadi tajuk utama portal hiburan selepas tersebar gambar terbarunya yang kelihatan jelas mengalami pengurangan berat badan.

Namun, dalam temu bual bersama wartawan, Adibah hanya memberitahu perubahan ketara itu disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet lebih sihat sejak Ramadan lalu.

Kemunculan awal Adibah di layar perak bermula pada 2005 dalam filem seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.

Sepanjang hayatnya, Adibah yang sinonim dengan lagu “Terlalu Istimewa” dikenali sebagai individu senang mendekati pengikut dan peminatnya menerusi platform media sosial.

Adibah antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutama kucing.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*