Ada yang tak senang agenda ‘perangi rasuah’

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata ada pihak yang tidak senang dengan agenda reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama berkaitan usaha memerangi rasuah.

Menurutnya, ketegasan Menteri Kewangan itu yang mahu menghapuskan rasuah sehingga timbul ugutan kumpulan tertentu mahu menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, sebelum ini tiada mana-mana pentadbiran sebelum Kerajaan Perpaduan yang kini lebih komited terhadap menghapuskan rasuah.

“Terdapat pihak tidak senang dengan agenda reformasi Perdana Menteri, sebab selama ini mereka bermanfaat daripada kelemahan institusi dan budaya rasuah yang sudah menjadi kebiasaan.

“Mereka bimbang ‘gravy train’ yang dinikmati selama ini akan berhenti.

“Justeru itu, mereka melontar tohmahan yang Perdana Menteri menggunakan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membalas dendam dan menyerang musuh musuh politik,” lapor BH.

Shamsul Iskandar berkata, tohmahan sedemikian jelas meleset memandangkan kebebasan institusi seperti SPRM adalah antara tunjang agenda reformasi yang diperjuangkan selama lebih dua dekad oleh Anwar.

“Kehidupan Perdana Menteri dan keluarga secara sederhana juga secara tidak langsung mengeluhkan pengkritik beliau.

“Kita perlu sedar antara sebab kegawatan ekonomi yang dialami sekarang disebabkan rasuah yang berleluasa dan agenda anti rasuah yang komited adalah perlu untuk menyelamatkan negara dan generasi akan datang daripada kecelakaan,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, demi masa depan negara rakyat perlu memastikan pihak yang sudah membenarkan rasuah berleluasa atau bersabit dalam rasuah tidak diberi peluang untuk kembali mentadbir.

Semalam, Anwar berkata, beliau memberitahu menerima pelbagai ugutan daripada ‘geng kaya’ yang sedang berpakat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.

Berucap pada majlis kenduri korban di pekarangan Masjid Jamek An Nur Kampung Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, Anwar berkata, beliau bagaimanapun tidak terkesan dengan ugutan tersebut.

Sebaliknya, Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau akan terus lawan untuk mempertahankan prinsipnya demi rakyat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*