Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) mirip wajahnya.
Ini kerana kata Zulkifli, terdapat beberapa video yang telah mengunakan wajah dan suaranya yang telah diubah suai menerusi AI digunakan untuk menipu.
“Sudah ada 2-3 video dengan wajah dan suara saya yang diubahsuai menggunakan AI, untuk menipu orang ramai melalui penjualan produk kesihatan dan pelaburan.
“Saya dimaklumkan sudah ada yang terpedaya dengan modus operandi tipu (scam) ini,”tulisnya di laman Facebook.
Susulan kejadian itu kata Zulkifli, pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut dijadikan ‘alat’ oleh sindiket scammer memperdayakan orang ramai menggunakan AI.
Siti Nurhaliza mendakwa, scammer menggunakan teknologi deepfake AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.
Perkara tersebut didedahkan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu melalui perkongsian di laman Instagramnya.
“Palsu. Jangan percaya scammer. Ini adalah salah satu contoh kes cubaan menipu menggunakan nama, akaun media sosial ada nama dan gambar saya, siap letak suara Al untuk yakinkan orang ramai dan selebihnya ambil mana-mana video siaran langsung saya dengan tujuan nak perangkap supaya orang percaya,”katanya.
Turut baca :
Leave a Reply