Ada petualang di airport Tawau

‘Disambut’ dengan gari sejurus tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat komersial dari Tawau, Sabah.

Itu nasib lapan pendatang haram Filipina yang cuba menyusup ke Semenanjung Malaysia menggunakan khidmat sindiket menyewakan MyKad tulen.

Namun tindakan pantas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibantu sepasukan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jam 12 tengah hari semalam, berjaya melumpuhkan sepenuhnya sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) Filipina terbabit.

Difahamkan kejayaan itu hasil usaha keras Bahagian Perisikan SPRM yang mengesan pembabitan ‘orang dalam’ di Lapangan Terbang Tawau, Sabah, hingga menyebabkan Pati mudah bolos melalui pintu keselamatan untuk menaiki pesawat.

Dalam operasi dilakukan semalam, semua penumpang pesawat yang baru tiba dari Sabah di Terminal 2 diarah menjalani pemeriksaan ketat dengan menunjukkan MyKad masing-masing.

Pegawai JPN kemudian menggunakan alat pembaca MyKad dan MyKid bertujuan mengesan ketulenan MyKad milik semua penumpang.

Pengesahan cap jari turut dilakukan menggunakan alat berkenaan bertujuan bagi pengesahan pemilik sebenar MyKad itu.

Hasilnya tiga lelaki dan empat wanita penumpang pesawat yang menyamar sebagai rakyat Malaysia dikesan menggunakan MyKad tulen milik individu lain.

Turut ditahan seorang bayi lelaki berusia setahun yang dibekalkan sijil kelahiran tulen oleh sindiket sama.

Jurucakap SPRM berkata, pihaknya turut berjaya memberkas tiga ‘dalang’ utama sindiket membabitkan wanita tempatan berusia 40-an hingga 50-an yang dipercayai mengiringi semua Pati terbabit menaiki pesawat.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah MyKad lain disimpan suspek utama yang dipercayai disewa dari individu lain untuk tujuan jenayah itu.

“Susulan itu kesemua 11 individu terbabit ditahan pihak JPN dan SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, pihak SPRM dan JPN dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberkas dua Pati di Johor dan dua Pati di Kunak, Sabah yang ada kaitan dengan sindiket itu.

Sementara itu, sumber memaklumkan, seramai lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Tawau, Sabah, turut ditahan sepasukan pegawai SPRM pagi semalam, bagi tujuan siasatan.

Penahanan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita yang disyaki menerima suapan dari sindiket penyeludupan Pati terbabit.

Harian Metro semalam menyiarkan eksklusif kewujudan sindiket membawa Pati untuk keluar dan masuk di Lapangan Terbang Tawau, Sabah, yang didalangi beberapa warga tempatan.

Modus operandi sindiket adalah setiap Pati atau pemastautin sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada orang tengah jika ingin keluar daripada Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Orang tengah ini kemudian membuat bayaran wang rasuah kepada pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Tawau.

Wang rasuah itu adalah dorongan supaya mereka tidak membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri terhadap Pati yang menaiki pesawat menuju ke KLIA2.

Kebiasaannya Pati akan membuat bayaran deposit sebanyak RM1,500 kepada orang tengah yang kemudian membuat pembelian tiket kapal terbang, menyediakan MyKad tulen yang bakal digunakan Pati.

Sindiket turut akan berurusan dengan pegawai Imigresen Lapangan Terbang Tawau untuk tidak membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri Pati semasa hari perjalanan.

Sebelum berlepas ke Semenanjung Malaysia, Pati ini akan dikumpulkan di rumah transit di sekitar Sabah sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Tawau.

Suspek akan membawa Pati ke Lapangan Terbang Tawau dan akan menyerahkan tiket penerbangan dan MyKad yang akan digunakan bagi penerbangan ke KLIA2.

Selepas Pati tiba di Terminal 2 KLIA, mereka akan membayar baki bayaran berjumlah RM1,000 secara tunai kepada orang tengah di sekitar kawasan KLIA2.

Kebiasaannya dalang atau orang tengah berusia 55 tahun akan membawa di antara lima sehingga 20 Pati bagi setiap penerbangan.

Jumlah wang rasuah diberikan kepada pegawai Imigresen mencecah RM500 untuk setiap orang Pati.

Sementara itu Pengarah Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya Datuk Azmi Kamaruzaman yang dihubungi Harian Metro mengesahkan operasi dan tangkapan dilakukan pihaknya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*