Dua guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, dua tahun lalu.
Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 60, dan M. Manisah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak tersebut tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan baginya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah tadika di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di dalam daerah Kinta pada pukul 10.07 pagi, 17 April 2023.
Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gary Xavier dan Jason Anthony.
Terdahulu, Mohamad Nazreen mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh namun Gary memohon agar jumlah jaminan minimum RM2,500 dibenarkan kepada setiap anak guamnya.
Katanya, Esther Christina yang bakal bersara minggu hadapan mengalami masalah kesihatan dan masih mendapat rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) manakala Manisah yang sedang meneruskan pengajian sarjana pula akan melangsungkan pernikahan pada bulan hadapan.
Baca juga :
Leave a Reply