A.Rahim dikenali sebagai penyangak nombor satu filem Melayu, ini sebabnya

Abdul Rahim bin Abu atau lebih dikenali sebagai A.Rahim dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1930. Semenjak kecil, Rahim telah dibawa oleh ibu bapa beliau menetap di Singapura.

Di Singapura, Rahim mendapat pendidikan di Sekolah Melayu dan kemudiannya di Sekolah Inggeris hingga darjah enam.

Tugas pertama beliau adalah sebagai pembantu yang bergaji tetap di syarikat penerbitan, MPH (Malayan Publishing House) di Singapura pada tahun 1948. Pada masa lapang, Rahim suka menonton wayang terutama di Panggung Capital di Singapura yang kebetulan terletak berdekatan dengan tempat beliau bekerja.

Oleh sebab banyak menonton wayang, maka timbullah minat beliau untuk menjadi pelakon filem. Pada ketika itu, pelakon seperti S.Roomai Noor, Kasma Booty dan Siput Sarawak menjadi daya tarikan bagi peminat filem Melayu. Sementara P. Ramlee belum dikenal ramai.

Sesekali, A. Rahim ke studio Malay Film Production (MFP) di Jalan Ampas off Balister Road untuk menyaksikan penggambaran filem. Beliau tertarik melihat pelakon beraksi di depan kamera dan cuba berlagak di depan cermin apabila pulang ke rumah. Akhirnya, beliau nekad berhenti kerja semata-mata untuk menjadi pelakon tambahan di MFP.

Beliau mula berdepan dengan kamera dalam filem Penghidupan pada tahun 1950. Dalam filem yang diarahkan oleh L. Krishnan, P. Ramlee memegang watak utama di samping Rokiah dan Maria Menado, yang pertama kali diperkenalkan di layar perak.

Walaupun hanya berlakon satu babak sahaja, A. Rahim telah menonton filem tersebut sebanyak lima kali semata-mata kerana mahu menatap wajah beliau di layar perak.

Beliau mula rapat dengan P. Ramlee sewaktu menjadi pelakon tambahan dalam filem Sejoli pada tahun 1951. Dalam filem yang diarahkan oleh B.S Rajhans itu, P. Ramlee sebagai hero, manakala Kasma Booty sebagai heroin.

P. Ramlee banyak memberikan dorongan kepada Rahim supaya tekun dan rajin belajar berlakon. Berdasarkan pengalaman P. Ramlee, Rahim berpotensi menjadi seorang pelakon yang baik jikalau beliau diberikan peluang untuk memegang peranan yang besar.

Peluang untuk menonjolkan bakat lakonan akhirnya diperoleh oleh beliau apabila pengarah L. Krishnan memilih beliau berlakon dalam filem Rayuan Sukma pada tahun 1951. Rahim membawakan watak perosak kasih sayang sepasang kekasih, lakonan Ali Rahman dan Zubaidah.

Semenjak itu, Rahim yang telah mengikat kontrak dengan MFP muncul tidak putus-putus dalam filem, daripada sebuah filem kepada sebuah filem yang lain. Dalam kesemua filem terbitan MFP, Rahim berperanan sebagai penyangak, yang sebelumnya sering dilakonkan oleh Jaafar Wariyo yang berasal dari Indonesia.

A.Rahim dikenali sebagai penyangak nombor satu filem Melayu, ini sebabnya
A.Rahim (depan sekali) dalam filem Sri Tanjung.

Walau bagaimanapun, watak penyangak yang dibawa oleh Rahim dalam filem Panggilan Pulau pada tahun 1954 telah berjaya melonjakkan nama beliau sebagai penyangak nombor satu dalam filem Melayu. Dalam filem tersebut, Rahim memegang watak sebagai Musa yang berseteru dengan Zulkifli, iaitu watak yang dilakonkan oleh P. Ramlee.

A.Rahim dikenali sebagai penyangak nombor satu filem Melayu, ini sebabnya

Kehebatan lakonan watak jahat Rahim semakin menyerlah melalui filem Semerah Padi yang diarahkan oleh P. Ramlee pada tahun 1956. Dalam filem bercorak keagamaan itu, beliau membawakan watak pezina dengan isteri orang, lakonan Normadiah. Akhirnya, kedua-dua mereka yang telah menodai kesucian Islam disula di depan khalayak.

Disebabkan oleh minat beliau yang amat mendalam dalam bidang fotografi, selain menjadi pelakon di MFP, Rahim juga menjadi jurugambar pegun. Setelah kontrak beliau tamat dengan MFP, Rahim berlakon dalam beberapa buah filem terbitan Nusantara Film Productions. Rahim kemudiannya kembali bertugas di MFP sehingga studio tersebut ditutup pada tahun 1967.

Rahim berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kegiatan dalam bidang perfileman yang sudah sebati dengan jiwa beliau. Sebagai seorang pelakon bebas di Kuala Lumpur, Rahim berlakon dalam beberapa buah filem, antaranya termasuklan Hati Bukan Kristal yang diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin, terbitan D.S.Team pada tahun 1990.

Beliau juga pernah bekerjasama dengan Jins Shamsudin sebagai penolong pengarah dalam pembikinan filem Tiada Esok Bagimu pada tahun 1980 dan Bukit Kepong pada tahun 1982.

A.Rahim dikenali sebagai penyangak nombor satu filem Melayu, ini sebabnya
A. Rahim (kiri) memegang watak sebagai polis dalam Bukit Kepong.

Cita-cita A. Rahim untuk menjadi pengarah filem tercapai pada tahun 1986 apabila beliau diberikan peluang oleh Amir Film Production. Beliau mengarah filem Sesejuk Air Mata Ibu karya Harun Hassan. Filem tersebut dilakonkan oleh Hail Amir, Normala Omar dan Marlia Musa. Ia merupakan filem pertama dan terakhir yang diarahkan A. Rahim.

A. Rahim mendirikan rumahtangga dengan Junainah Harris pada tahun 1953, yang merupakan adik kepada Junaidah Harris, mantan isteri P. Ramlee. Perkahwinan mereka berkekalan dan dikurniakan sembilan orang anak.

Pada 20 April 1992, ketika di dalam kenderaannya di Kuala Lumpur, A. Rahim telah diserang sakit jantung dan menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun.

Jenazahnya telah diuruskan oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk dibawa pulang ke pangkuan keluarga beliau di Singapura dan dikebumikan di Pusara Aman, yang juga merupakan permintaan terakhirnya.

Antara filem-filem lakonan A.Rahim :

Penghidupan, Sejoli, Rayuan Sukma, Jiwa Lara, Sedarah, Lupa Daratan, Raja Sehari, Hati Iblis, Sangsara, Mangsa, Iman, Panggilan Pulau, Kechawa, Kipas Hikmat, Jubah Hitam, Menyerah, Semerah Padi, Masharakat Pinchang, Pendekar Bujang Lapok, Batu Belah Batu Bertangkup, Musang Berjanggut, Raja Laksamana Bentan, Isi Neraka, Putera Sangkar Maut, Ali Baba Bujang Lapok, Sri Tanjung, Seniman Bujang Lapok, Si Tanggang, Singapura Dilanggar Todak, Siti Muslihat, Hati Bukan Kristal.

Fakta Tambahan

Kebanyakan watak dibawa A. Rahim ialah watak antagonis. Hanya beberapa watak baik dan berlainan yang dibawakannya, antaranya dalam filem Isi Neraka, Ibu Mertua-ku dan Anak Buluh Betong. Di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, beliau membawa watak lawak sebagai Momotaro-san, salah seorang penyamun berketurunan Jepun. Manakala dalam filem Bukit Kepong, A. Rahim membawa watak polis yang berjuang menentang komunis.

A.Rahim dikenali sebagai penyangak nombor satu filem Melayu, ini sebabnya
A. Rahim (memakai topi Jepun) dalam filem Ali Baba BUjang Lapok.

A. Rahim juga seorang yang mahir dengan silat kuntau tekpi. Dikatakan watak P. Ramlee bermain tekpi dalam filem Enam Jahanam dibantu beliau.

Merupakan seorang kerani sebelum menceburkan diri dalam dunia perfileman. A.Rahim mencuba nasib sebagai pelakon apabila terbaca satu iklan dalam suratkhabar yang menyatakan studio Jalan Ampas sedang mencari bakat baru.

A. Rahim juga seorang jurugambar. Kebanyakan foto-foto di studio MFP diambil olehnya. Beliau juga pernah bergiat dalam muzik apabila menjadi pemain drum di kelab malam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*