Bekas Menteri Luar yakin, Anwar mampu jadikan Malaysia kuasa pertengahan berpengaruh

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu memfokus kepada usaha memastikan pemulihan ekonomi negara, kestabilan politik serta memperbaiki imej Malaysia terlebih dahulu bagi mengembalikan kedudukan negara sebagai kuasa tengah (middle power) yang berpengaruh.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata Malaysia perlu menunjukkan demokrasi di negara ini masih subur selepas pilihan raya serta penubuhan kerajaan, selain memberi keyakinan bahawa jalinan ekonomi dengan Malaysia akan mendatangkan kesan positif dalam hubungan dua dan pelbagai hala dengan negara lain.

Tan Sri Syed Hamid Albar

“Walaupun terdapat banyak perdebatan politik, itu menunjukkan Malaysia adalah negara demokrasi dan wujud kebebasan bersuara. Kita juga ada demokrasi berparlimen dan akan bersidang pada 19 Disember ini. Ini semua adalah ‘image building’ (pembinaan imej) untuk negara.

“Kita turut menyuarakan kehendak untuk membina negara berasaskan kedaulatan undang-undang (rule of law), iaitu mengikut undang-undang dan kebebasan badan kehakiman. Kita juga perlu memerangi rasuah, kita mesti membetulkan imej kita,” katanya kepada Bernama.

Syed Hamid berpandangan walaupun Anwar belum mengumumkan secara terperinci hala tuju dasar luar Malaysia, pendekatan berbaik-baik dengan negara lain sudah dipraktikkan apabila Perdana Menteri berhubung dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

Veteran politik itu berpendapat, pengumuman berkenaan boleh menyusul kemudian kerana apa yang mustahak ketika ini ialah menunjukkan kepentingan hubungan dua hala dengan negara lain sebagai asas kepada dasar luar Malaysia.

“Beliau (Anwar) bercakap dengan Presiden Turkiye, Presiden Indonesia dan pemimpin-pemimpin lain. Sultan Brunei juga sudah melawat Malaysia.

“Itu merupakan langkah pertama untuk menunjukkan kepada dunia luar bahawa keadaan Malaysia adalah baik dan sudah mempunyai kepimpinan yang meneruskan kerajaan. Jadi seterusnya, kita hendak memulihkan keyakinan negara-negara luar,” katanya.

Syed Hamid juga melihat personaliti Anwar yang terkenal dalam kalangan pemimpin dunia dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar yang berpengalaman serta berpendidikan tinggi, mampu mengembalikan Malaysia ke arus perdana dalam hubungan antarabangsa.

“Saya fikir ramai orang sekarang menyatakan Malaysia nampak pasif sedikit pada peringkat rantau dan antarabangsa, peranan kita tidak nampak ketara, tidak dilihat macam pernah kita memainkan peranan sebagai negara kuasa tengah.

“Saya tengok hubungan Anwar pada peringkat antarabangsa dan beliau ada banyak penyokong pada peringkat antarabangsa. Justeru, saya fikir selepas ini peranan Malaysia akan nampak lebih terserlah,” katanya.

Syed Hamid berkata, sebagai seorang aktivis serta reformis, Anwar rapat dengan negara Islam dan membangun tetapi pada masa sama, perjuangannya turut didukung negara Barat.

Berhubung isu persaingan kuasa besar di rantau ini pula, beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara kecil perlu mengambil pendekatan seimbang yang memihak kepada kepentingan nasional Malaysia.

Sementara itu Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, berkata Anwar perlu menstabilkan suasana politik dalam negara dan mengembangkan ekonomi domestik.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu lebih berfikiran terbuka dalam tanggungjawab antarabangsanya, seperti pematuhan kepada perdagangan bebas dan pasaran terbuka.

Memandangkan Anwar adalah personaliti politik terkenal pada peringkat antarabangsa, katanya, sudah pasti terdapat jangkaan di dalam dan luar negara untuk pentadbiran baharu memainkan peranan lebih besar serta proaktif di arena global.

“Dengan kekukuhan ekonomi serta kestabilan landskap politik, Malaysia akan mampu menggalas lebih banyak tanggungjawab antarabangsa bawah kepimpinan Anwar dan diharap muncul sebagai kuasa pertengahan yang berpengaruh,” katanya sambil berpendapat Malaysia juga boleh menjadi perantara dalam konflik di dunia.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*