‘Tidak puas hati’ ditamat perkhidmatan, bekas KPPA mahu saman ‘pihak menganiaya’

Bekas ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA), Mohd Shafiq Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang berhubung penamatan perkhidmatannya.

Susulan pengumuman penamatan perkhidmatannya oleh Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali hari ini, Shafiq berkata, beliau “terkilan” dan “tidak berpuas hati ” dengan keputusan tersebut.

“…Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya, meskipun saya telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Zuki dalam kenyataan media mengumumkan perkhidmatan Shafiq sebagai KPPA ditamatkan, berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, perkhidmatan Shafiq ditamatkan mengikut Subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980, yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan layak baginya.

Dalam pada itu, Shafiq mendakwa pelbagai usaha dibuat untuk memburukkan imej dan reputasinya yang aktif memberi teguran kepada penyampaian perkhidmatan awam.

“Perkara ini tidak disenangi segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan dalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.

“Justeru, beberapa usaha tanpa henti dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi saya melalui isu-isu viral di sosial media yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatan saya semalam.”

Shafiq juga mendakwa sepanjang menjadi KPPA, terdapat usaha menghalangnya menjalankan tugas dengan efisien, apabila beberapa mesyuarat penting melibatkan kenaikan pangkat sektor awam ditangguh ketua setiausaha negara.

Menurutnya, kelewatan mengadakan mesyuarat penting itu menyebabkan banyak jawatan penting kosong tidak dapat diisi segera, terutama di peringkat pengurusan tertinggi kementerian dan agensi.

Tetapi, katanya, beliau masih menyokong aspirasi kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan awam.

Shafiq, 58, sebelum ini dilaporkan mengherdik seorang pegawai imigresen di tempat awam yang menyebabkan sebuah jawatankuasa tertinggi ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

Shafiq yang merupakan ketua setiausaha Kementerian Kesihatan, dilantik sebagai KPPA pada 10 Feb lalu menggantikan Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan lalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*