Lima kertas kerja atasi kos sara hidup dibentang Selasa ini, libat 15 kementerian – Salahuddin

Lima kertas kerja berkaitan kos sara hidup akan dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Selasa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi mencari kata putus menyelesaikan isu tersebut.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu akan dianggotai oleh 15 kementerian dan pembentangan kertas kerja itu akan dibuat oleh kementeriannya selain Kementerian Pengangkutan, Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Hasil mesyuarat NACCOL itu nanti akan ada keputusan yang mampu dicapai berkenaan isu kos sara hidup.

“Isu panas ini menjadi misi besar Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri yang memberi iltizam utk bersama-sama atasi kos sara hidup,” katanya selepas merasmikan Program Berkhatan Perdana di Masjid Al Mizan Kempas Baru, di sini hari ini.

Pada mesyuarat 27 November lalu, Anwar mengarahkan NACCOL untuk mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.

“Saya beri tempoh dua minggu kerana sesuai dengan keputusan yang harus diambil oleh Jemaah Menteri. Saya dahulukan ini kerana anggap masalah kes sara hidup terlalu menyeksa sebahagian besar rakyat miskin,” katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, usai mesyuarat khas NACCOL, kementerian itu akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berkata, jalinan kerjasama antara kedua-dua kementerian penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan itu berjalan dengan baik.

“Selepas itu, kementerian akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri ayam telur dan minyak masak bersubsidi bagi mendapatkan penjelasan apa sebenarnya yang berlaku terhadap gangguan bekalan.

“Hasil tinjauan ketika turun padang sebelum ini, saya melihat sendiri keadaan pasaran dan dapati terdapat kekurangan bekalan telur ayam gred biasa dan minyak masak peket satu kilogram bersubsidi, baik di pasar raya mahupun di kedai runcit,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*