Fitnah terima RM15 juta : Anwar hantar notis tuntut MP Kuala T’ganu minta maaf

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kali ini memberi tempoh lima hari kepada Ahli Parlimen Ahmad Amzad Hashim untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah berkenaan ketika Anwar menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Anwar juga memberi tempoh lima hari kepada Amzad untuk menarik balik hantaran berkenaan dakwaan itu di TikTok, serta membuat aku janji untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan berkenaannya.

Perkara itu disampaikan menerusi surat tuntutan kepada Amzad bertarikh hari ini.

Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna @nelly3868 semalam, Amzad didakwa membayangkan walaupun Anwar hanya menerima bayaran simbolik RM1 setahun sebagai penasihat ekonomi Selangor, tetapi dia membuat tuntutan sebanyak RM15 juta.

Amzad yang merupakan bekas timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi juga membangkitkan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 atas tiga sabitan salah guna kuasa dan liwat.

Terdahulu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pernah membuat dakwaan serupa, bahawa Anwar menerima RM15 juta ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor, dalam satu ceramah kempen di Padang Serai pada 5 Disember lalu.

Pejabat Menteri Besar Selangor kemudian menafikan dakwaan itu dan menegaskan bayaran simbolik yang diterima Anwar.

Semalam, Anwar juga menuntut Muhyiddin memohon maaf atas dakwaan yang dibuat.

Dalam surat tuntutan yang dilihat Malaysiakini, Anwar berkata video itu dimuat naik di Tik Tok dengan niat jahat untuk “merendahkan” maruahnya.

Dia juga menyifatkan Amzad telah “mencemarkan dan mengejek” pengampunan penuh yang diberikan Yang di-Pertuan Agong serta menghina insitusi diraja.

Menurut surat tuntutan itu, Anwar menuntut ganti rugi “substantif dan konsekuensial” dari Amzad atas “kecederaan teruk” reputasinya.

Dia juga menuntut Amzad membayar semua kos guaman dalam perkara itu.

Tindakan undang-undang akan dimulakan jika Amzad gagal memenuhi tuntutan yang disenaraikan dalam tempoh yang diberikan, menurut surat itu.

Fitnah terima RM15 juta : Anwar hantar notis tuntut MP Kuala T'ganu minta maaf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*