BN-PH akan meterai secara rasmi perjanjian gabungan

BN-PH akan meterai secara rasmi perjanjian gabungan. Barisan Nasional (BN) bersedia memeterai secara rasmi perjanjian penggabungan dengan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti atau blok siasah dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perjanjian berkenaan bagi memastikan tahap pentadbiran kerajaan pelbagai parti pada ketika ini akan lebih bersifat formal.

“Kita (BN) telah pun ada perbincangan untuk apa yang dikenali sebagai perjanjian penggabungan baru-baru ini dan insya-Allah akan ditandatangani sedikit masa lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri ramah mesra bersama warga Kementerian Luar di Wisma Putra di sini hari ini.

Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk hasil daripada gabungan PH dengan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.

Zambry yang baru memulakan tugas sebagai Menteri Luar berkata, perjanjian penggabungan tersebut lebih bertujuan memastikan kestabilan kerajaan ‘campuran’ pelbagai blok politik yang berbeza tidak tergugat.

“Ia akan dipersetujui dalam masa terdekat apabila semua perkara dimuktamadkan namun setakat ini saya tidak dapat mendedahkan segala perincian dalam klausa perjanjian berkenaan,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa secara umum perjanjian tersebut akan menyelaraskan banyak isu berbangkit terutama pelaksanaan manifesto berbeza antara setiap blok politik itu.

Pada masa sama, perjanjian berkenaan juga akan memperincikan garis sempadan antara semua parti yang ketika ini dilihat agak mengelirukan rakyat khususnya penyokong Kerajaan Perpaduan.

Dalam perkembangan lain, beliau membayangkan bahawa dasar luar Malaysia akan kekal sama di bawah pentadbiran Anwar.

Bagaimanapun jelas beliau, sekiranya ada perubahan sama ada besar atau kecil, ia akan tertakluk kepada kepimpinan negara bagi mencorakkan hala tujunya termasuk dengan pihak tertentu.

BN-PH akan meterai secara rasmi perjanjian gabungan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*