Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu selepas dilihat bertindak mempertikaikan segala pelantikan yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu, kerana dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan Raja-Raja Melayu.
Sebaliknya kata beliau, Muhyiddin perlu mencontohi DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini. Tindakan Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Muhyiddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan. Belajarlah menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Katanya, kerajaan terbentuk ini bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Kerajaan Perpaduan hasil gabungan kerjasama parti terbesar dan parti kecil lain yang memenangi pilihan raya, untuk membina dan mentadbir negara lebih baik daripada kerajaan terdahulu.
“Muhyiddin lupa kuasa perlantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Begitu pelantikan kabinet. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah mempersembahkan senarai semua ahli jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan baginda. Selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, barulah diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Katanya, pelantikan jawatan Perdana Menteri juga diperkenan Yang di-Pertuan Agong, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
“Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam kabinet angkat sumpah Muhyiddin menuduh pembentukan kerajaan dan kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kritikan Muhyiddin bahawa tindakan Perdana Menteri yang memegang jawatan Menteri Kewangan tidak melihat keperluan semasa, yang memerlukan Anwar yang dikenali mempunyai rekod baik dalam menguruskan ekonomi negara.
“Anwar juga pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine dan Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Magazine.
“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan,” katanya.
Katanya, rekod ini tidak pernah dicapai oleh Muhyiddin yang sangat bermasalah mengurus negara dan dikenali sebagai kerajaan gagal.
“Kini Muhyiddin berdepan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan negara ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan beliau sangat ketakutan serta terdesak untuk menjadi Perdana Menteri hingga sanggup melanggar adat dan adab membuat kritikan terhadap Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri,” katanya.
Leave a Reply