{VIDEO} Jangan beri saya cenderahati, kata PM

Perdana menteri yang baru dilantik Anwar Ibrahim mengingatkan supaya tidak memberikan cenderahati kepadanya.

Pengerusi PH itu berkata walaupun dia menghargainya, namun menganggap ia satu amalan yang bercanggah dengan prinsip pentadbirannya.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak memberi sebarang cenderahati kepada saya dan budaya ini mesti dihentikan.

“Saya hargai niat baik saudara saudari semua tetapi ini tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta ia membebankan rakyat,” katanya pada satu hantaran di media sosial.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Anwar menjelaskan dia telah memberi arahan itu kerana ia membebankan, dan juga menimbulkan kebimbangan etika.

Dia berkongsi pengalamannya ketika pertama kali dilantik sebagai menteri belia dan sukan pada 1983 dan kemudiannya melawat Kelantan.

Di sana, dia telah disambut dengan cenderahati oleh seorang pegawai kementerian yang dikenalinya sejak zaman pelajarnya di Universiti Malaya.

“Jadi saya kata dari peruntukan mana? Dia kata bukan peruntukan kerajaan.

“Jadi? Dia kutip dari semua staff. Saya kata tak munasabah sebab gaji saya sepuluh kali ganda daripada staf kamu.

“Maka saya bagi arahan dan hari ini saya keluarkan arahan semula kerana saya akan mula berkunjung,” katanya pada majlis bersama aktivis reformasi berdasarkan hantaran video di Facebooknya.

Pun begitu, perdana menteri sempat berseloroh bahawa dia akan menerima cenderahati berupa keledek dan pisang goreng.

“Tapi jangan banyak sangat. Nanti saya jual,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata akan menggunakan kenderaan sedia ada bagi urusan harian dan menolak daripada menggunakan kenderaan jenis Mercedes Benz S600 yang dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Anwar berkata keputusan tersebut diambil kerana tidak mahu sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atasnya.

Perdana menteri pada 27 Nov lalu berkata kerajaan tidak akan membeli kereta rasmi baru untuk kegunaannya atau melakukan sebarang pengubahsuaian di pejabatnya.

Jelasnya, ini kerana dia ingin mewujudkan budaya tidak membazirkan dana kerajaan.

{VIDEO} Jangan beri saya cenderahati, kata PM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*