Tolak cadangan Agong kerjasama dengan PH, Muhyiddin dilihat ‘angkuh’, kata MKT Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai “angkuh” susulan tindakannya menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Puad turut menggambarkan Muhyiddin sebagai “jelas tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong”.

“Muhyiddin dakwa sudah hantar 115 SD (akuan berkanun) Ahli Parlimen yang sokong dia jadi PM.

“(Beliau) seperti menyalahkan Istana yang kata SD itu tidak lengkap,” katanya.

Katanya lagi, Muhyiddin sepatutnya mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya itu.

“Mana tahu ada nama MP dari BN (Barisan Nasional),” kata Puad.

Beliau berkata, peristiwa yang berlaku semalam menyerlahkan perwatakan bekas perdana menteri itu yang “angkuh dan pendendam”.

“Layakkah (beliau) jadi perdana menteri semula?” soal Puad.

Semalam, Muhyiddin berkata, Agong ada mencadangkan PH dan PN bekerjasama untuk membentuk kerajaan, namun PN menolak.

Pada sidang media, beliau menegaskan bahawa PN kekal dengan pendirian itu.

Beliau juga menyatakan beliau mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri menerusi SD, dan bukti sokongan itu sudah diserahkan semalam.

“Tapi bila saya menghadap tadi ada dikatakan yang ini tidak mencukupi. Saya tidak tahu apakah sebab-sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” kata Muhyiddin.

Susulan daripada sembah menghadap oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Muhyiddin, Agong menitahkan kesemua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir menghadap baginda di Istana Negara pagi ini.

Malam tadi, Timbalan Presiden MIC M Saravanan memaklumkan bahawa BN memohon untuk menangguhkan sembah menghadap yang dititahkan Agong.

“Kita minta penangguhan, kita meneliti banyak perkara, kedudukan parti macam-macam,” katanya.

“Pilih mana satu (parti) belum buat keputusan. Kalau boleh kita minta tangguh, sebab kita dah minta (kepada Istana).”

Turut baca :

Tolak cadangan Agong kerjasama dengan PH, Muhyiddin dilihat 'angkuh', kata MKT Umno

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*