Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan dia mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi bagi membentuk kerajaan persekutuan ketika saingan mereka, Perikatan Nasional (PN) terus menggambarkan sebaliknya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan itu akan mengikut proses yang ditetapkan dan yakin mereka akan diberi peluang untuk mentadbir negara ini.
Bahkan ahli parlimen Tambun itu memberi bayangan tanda tanya mengenai pihak yang akan memberikan dukungan kepadanya menjadi perdana menteri akan diketahui hari ini.
Ditemui media di Kuala Lumpur, Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
“Semalam dah cukup bilangan 112 (ahli parlimen) […] biar parti berkenaan keluarkan kenyataan sendiri dalam masa singkat,” katanya.
Sementara itu menurut presiden PKR itu lagi, PH akan mengikut prosedur yang sepatutnya seperti dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Speaker Dewan Rakyat.
“Seperti yang saya katakan malam semalam, ia sudah selesai dan biar mereka keluarkan kenyataan mereka sendiri,” katanya.
Selepas lebih 24 jam berakhirnya PRU ke-14, belum ada mana-mana parti yang mampu membentuk kerajaan secara sendiri ekoran situasi parlimen tergantung.
Keputusan rasmi menunjukkan PH menjadi parti yang memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.
BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
Petang tadi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan kesediaan mereka untuk menyokong kerajaan pusat yang menggabungkan PN dan BN.
Yakin diberi peluang
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula memberitahu dia yakin akan dapat mencukupkan bilangan kerusi minimum di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan, seterusnya menjadi perdana menteri sekali lagi.
Bagaimanapun BN kemudian mengeluarkan kenyataan balas menafikan mereka ada berunding sama ada dengan GPS atau BN.
Berdasarkan keadaan semasa kerjasama di antara PN dan GPS masih belum cukup untuk mereka mendapat penguasaan majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Anwar berkata dia juga gembira kerana isu mencukupkan bilangan ahli parlimen bagi membentuk kerajaan sudah diselesaikan oleh PH.
“Dengan tahap sokongan yang diterima, saya yakin akan diberikan peluang untuk memimpin negara ini,” katanya dalam temu bual yang disiarkan Astro Awani.
Agong memberi tempoh sehingga jam 2 petang hari ini untuk pemimpin utama parti yang terlibat dalam PRU membuktikan mereka mempunyai majoriti di Dewan Rakyat sebelum mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Turut baca :
- Peralihan kuasa : Amaran pada semua, jangan buat kacau – KPN
- Astro AWANI nafi keluarkan mesej Agong titah Anwar diangkat sebagai PM baharu
Leave a Reply