PRU15: Kecoh pusat mengundi tutup 2 petang

PRU15: Kecoh pusat mengundi tutup 2 petang. Tular rakaman mendakwa rasa tidak hati pengundi selepas pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang, di Kuala Pilah, ditutup seawal 2 petang.

Rakaman itu menyaksikan pintu pagar pusat mengundi terbabit ditutup dan terdapat beberapa pengundi menunggu untuk masuk ke dewan untuk mengundi.

Berlaku sedikit kekecohan susulan ada pengundi tidak berpuas hati kerana beranggapan pusat mengundi sepatutnya dibuka sehingga 6 petang.

Sementara itu, memetik Harian Metro, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap, berkata mengikut Borang 8 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal, termasuk di Kampung Melang.

“Pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang memang ditutup awal iaitu jam 2 petang. Perkara itu memang sudah diwartakan SPR dan ia boleh dirujuk di borang 8.

“Kami petugas hanya menjalankan arahan diberikan SPR. Jika pusat mengundi itu dibuka sehingga jam 6 seperti pusat lain, ia mungkin mendapat bantahan daripada pihak SPR sendiri,” katanya.

Faizal berkata, beliau juga kesal dengan insiden itu sehingga menyebabkan pengundi tiada kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon pilihan masing-masing.

“Bagaimanapun, ia memang sudah ditetapkan begitu. Bukan di Kampung Melang sahaja, malah terdapat pusat mengundi yang ditutup lebih awal iaitu jam 2 dan 4 petang. Pengundi juga sepatutnya lebih cakna dengan pusat mengundi mereka dan keluar mengundi lebih awal,” katanya.

PRU15: Kecoh pusat mengundi tutup 2 petang

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*