Rafizi dakwa MOF lulus projek RM285 juta selepas parlimen bubar

Rafizi dakwa MOF lulus projek RM285 juta selepas parlimen bubar. Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan satu lagi surat yang mendakwa kerajaan cuba memberikan kontrak bernilai berbilion ringgit kepada syarikat kroni.

Surat berkenaan adalah berhubung projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Okt.

Rafizi berkata projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt.

Surat itu didakwa daripada bahagian perolehan kerajaan kepada ketua setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Ia menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan projek berkenaan kepada syarikat sama yang terlibat dalam dua lagi projek tebatan banjir oleh Kasa, bernilai RM285,334,744.40.

“Surat ini mengesahkan bahawa ada projek yang diluluskan oleh menteri-menteri BN dan PN selepas Parlimen dibubarkan yang secara jelas melanggar undang-undang,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Malaysiakini telah beberapa kali menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan maklum balas mereka, tetapi tidak berjaya setakat ini.

Rafizi sebelum ini menyifatkan syarikat tersebut sebagai syarikat “kroni Umno”.

Dia juga sebelum ini mendakwa syarikat itu turut dianugerahkan dua kontrak secara runding terus bagi projek tebatan banjir daripada Kasa bernilai RM578.6 juta dan RM2 bilion.

Rafizi berkata dengan surat terbaru ini bermakna menteri sementara Kasa, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak lagi boleh menafikan terdapat projek yang diluluskan selepas parlimen dibubarkan.

Dia juga mengingatkan bahawa mereka tidak boleh berselindung di sebalik ulasan pentadbiran dengan mengatakan Surat Setuju Terima belum dikeluarkan kepada syarikat itu, dan Tuan Ibrahim tidak boleh mendakwa tidak mengetahui perkara itu.

Sambil memberikan penjelasan ringkas mengenai prosedur proses perolehan, Rafizi berkata cadangan projek itu perlu datang daripada kementerian – dalam kes ini, Kasa – yang kemudiannya akan memutuskan bentuk tender untuk projek tersebut sama ada tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus.

Katanya, sekiranya kementerian mencadangkan sebarang kaedah selain tender terbuka, kelulusan Kementerian Kewangan adalah diperlukan.

Begitu juga, bagi mana-mana peruntukan projek yang melebihi harga tertentu, kelulusan Kementerian Kewangan juga diperlukan.

Tambahnya, setelah Kementerian Kewangan memberikan kelulusan, kementerian mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dengan merujuk kepada surat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

“Oleh itu, bagi tujuan menentukan sama ada kelulusan sesuatu projek diberikan selepas tarikh pembubaran, tarikh yang dirujuk ialah tarikh apabila Kementerian Kewangan memberi kelulusannya,” kata Rafizi.

Belum dikeluarkan Surat Setuju Terima

Katanya, setakat ini, projek-projek yang telah diluluskan ini masih belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat berkenaan susulan pendedahannya, yang bermakna projek-projek itu telah diluluskan tetapi kerja-kerja tidak dapat dimulakan.

Rafizi kemudian mempersoalkan apakah projek itu diluluskan secara tergesa-gesa untuk mengumpul dana pilihan raya umum ke-15.

Selain itu, katanya, Tuan Ibrahim dan Tengku Zafrul perlu menjawab beberapa persoalan.

Katanya, kedua-dua menteri itu perlu menjelaskan apa hubungan mereka dengan syarikat tersebut sehingga sanggup memberikan kontrak besar bernilai kira-kira RM5 bilion kepada sebuah syarikat bermasalah.

Selain itu, katanya, mereka juga perlu menjelaskan apakah benar kos bagi ketiga-tiga projek itu boleh dijimatkan sehingga RM150 juta melalui tender terbuka, seperti yang dianggarkan penjawat awam yang memberikan maklumat tersebut.

Rafizi berkata monopoli projek-projek besar oleh sebuh syarikat menyebabkan kerajaan tidak mendapat harga yang terbaik berbanding jika diadakan secara tender terbuka.

“Saya ingin mengingatkan pengundi-pengundi bahawa projek-projek ini belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) hanya apabila saya mendedahkan kepincangan dalam proses perolehan.

“Jika BN atau PN menang dalam PRU15, dengan kelulusan yang telah diberikan setakat ini, projek-projek ini akan terus diberikan kepada syarikat itu.

“Sia-sialah pengorbanan penjawat awam yang mengambil risiko mendedahkan perkara ini,” katanya.

Rafizi berkata sekiranya gabungan parti lain menjadi kerajaan selepas PRU, kelulusan projek daripada Kementerian Kewangan itu boleh dibatalkan.

Tuan Ibrahim sebelum ini berkata dia akan memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi, manakala Tengku Zafrul berkata kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion itu adalah mengikut undang-undang.

Turut baca :

Rafizi dakwa MOF lulus projek RM285 juta selepas parlimen bubar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*