{VIDEO} Feri Langkawi dalam proses pembaikan di limbungan terbakar

Sebuah feri yang dalam proses pembaikan di limbungan kapal di Bukit Malut, di sini terbakar pada petang semalam.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Fadzullah Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 5 petang.

Katanya, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan satu jentera dari BBP Persiaran Putra diarahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan bilik enjin sebuah feri yang berada di atas tanjakan kerana dalam proses pembaikan.

“Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan air dan 11 tong buih pada peringkat pertama pemadaman,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 12 tong buih tambahan dihantar ke lokasi bagi peringkat seterusnya.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 6.46 petang dan proses pemadaman masih giat dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*