Bukan hanya Melayu, PH pertahan semua kaum, tegas Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim menepis dakwaan gabungan itu membela rakyat berbilang kaum, tetapi sebenarnya hanya mempertahankan kaum Melayu.

“Ada orang kata kita ini salah kerana ‘multiracial’, salah kerana tiap kali bicara pertahankan orang Melayu. Kita pertahan semua kaum, terutamanya yang terbiar, tersisih dan terabai. Itu saya jawab.

“Ia bukan pasal politik ataupun pilihan raya, tetapi sifat kemanusiaan, belas kasihan dan juga keinginan dalam memperjuangkan keadilan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera Pilihan Raya PRU15 Wanita PH.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau kesal tiada kemudahan asas lengkap di pedalaman seperti Kapit dan kaum India di kawasan estet yang masih mendapat mutu pendidikan rendah.

“Walaupun yang miskin majoriti Melayu Bumiputera, tetapi di Semenanjung, antara yang terpinggir adalah etnik India. Jadi, apa salah kita (PH) menyatakan kita nak basmi kemiskinan tanpa mengira kaum, sama ada India, Cina, Iban dan sebagainya.”

Katanya, PH tetap mempertahankan dasar berkenaan kerana itulah keadilan yang dimaksudkan.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, PH sukar melakukan reformasi sepanjang 22 bulan pentadbiran di bawah Dr Mahathir Mohamad kerana ia diketuai pemimpin “bukan reformis” dan tidak berminat melakukan perubahan.

Presiden PKR berkata, situasi berkenaan dapat dilihat selepas beberapa bulan gabungan itu mentadbir, politik Malaysia kembali kepada isu perkauman yang bertentangan dengan perjuangan PH membela rakyat berbilang kaum.

Katanya, perkara itu dapat dilihat melalui tindakan Mahathir mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa menteri dan pemimpin Melayu.

Ketua pembangkang itu berkata, walaupun beliau memperjuangkan kepentingan hak orang Melayu, tidak bermakna hak kaum lain di Malaysia perlu diabaikan dan prinsipnya tetap sama, iaitu ketika kepentingan orang Melayu perlu dijaga dan dipertahankan, kaum lain tidak boleh disisihkan.

 

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*