PKR beri tumpuan ‘gempur’ kerusi ‘pengkhianat’. PKR akan memberi tumpuan khusus pada kerusi ‘pengkhianat’ parti itu dengan memastikan kerusi berkenaan kembali menjadi milik mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata, di samping memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi yang disandang parti itu, PKR juga mahu merampas kembali beberapa kerusi yang dilarikan bekas wakil rakyat parti itu pasca peristiwa ‘Langkah Sheraton’ dua tahun lalu.
Di samping itu, katanya, PKR dan Pakatan Harapan (PH) juga menyasarkan beberapa kerusi tambahan untuk ditandingi pada PRU-15, khususnya yang dimenangi BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Sekarang fokus kita bukan saja kerusi disandang, tapi juga beberapa kerusi lain yang menjadi sasaran kita. Semestinya kita beri fokus pada kerusi pengkhianat PKR dan rakyat, ini menjadi fokus khusus pimpinan.
“Kalau PRU-14, PKR bertanding 51 kerusi di Semenanjung, jangkaan kami lebih daripada itu (untuk PRU-15) kerana 52 kerusi Bersatu akan diagihkan antara PKR, DAP dan Amanah di Semenanjung.
“Angka sebenar kita tunggu keputusan parti kerana masih ada beberapa kerusi yang masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PKR sudah memuktamadkan calon serta jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti itu dalam PRU-15.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan parti itu dijangka memuktamadkan mengenai calon dan kerusi yang ditandingi gabungan itu Rabu ini.
“(Calon PRU-15) belum diputuskan. Mesyuarat mengenai calon akan dipengerusikan oleh (Timbalan Presiden) Rafizi Ramli pada 12 Oktober,” katanya.
Ditanya mengenai khabar angin mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Gombak, Menteri Besar Selangor itu secara berseloroh berkata, “mungkin Gombak, Bandar Tun Razak Ampang,” merujuk pada kerusi bekas wakil rakyat PKR yang melompat parti.
Turut baca :
Leave a Reply