Antara jalan raya terburuk di dunia, Malaysia ditangga ke12 dari 59 negara – Kajian

Malaysia dilaporkan berada di tangga ke-12 mempunyai jalan paling teruk di dunia berdasarkan kajian yang dijalankan oleh sebuah firma pendidikan pemandu, Zutobi, merangkumi 59 negara di dunia.

Menurut kajian tersebut, kualiti jalan di Malaysia menurun lebih lima peratus dalam tempoh lima tahun lalu serta mencatat angka kematian kemalangan kedua tertinggi di dunia, iaitu 22.76 orang dalam 100,000. Angka ini kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Hasil kajian ini tentu tidak menggembirakan bagi Malaysia kerana ia memberi gambaran keadaan jalan raya negara ini teruk serta mencatat kematian tinggi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menyangkal kajian ini dan menyifatkannya tidak tepat, mengelirukan serta memberi persepsi kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

Data yang dikumpul daripada hanya 59 negara dianggap tidak mencukupi untuk dibuat kajian perbandingan, kerana itu dapatannya tidak cukup konkrit. Juga ia hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, kematian jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Namun menurut kajian berkenaan, keadaan jalan di Malaysia tidaklah seteruk Kuwait yang dicatatkan ‘juara’ jalan paling teruk di dunia, diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand. Kuwait juga mencatat angka kematian ketiga tertinggi di dunia, iaitu 19 orang bagi setiap 100,000.

Walaupun JKR mempertikai dapatan kajian ini, ia harus diambil serius oleh pihak berkuasa, tidak harus dipandang dari sudut negatif semata-mata. Seharusnya ia menjadi pendorong dan penggerak kepada kerajaan meneliti serta mengkaji keadaan jalan di Malaysia dan menambah baik mana yang perlu.

Diharap ia juga menimbulkan kesedaran kepada pengguna untuk lebih berhati-hati-hati di jalan raya. Tidak dapat dinafikan kecuaian pengguna adalah juga faktor berlaku kemalangan.

Kajian Zutobi itu memberikan mata keselamatan keseluruhan hanya 3.32 kepada Malaysia daripada jumlah 10 mata. Namun kajian tidak memperincikan adakah ia dijalankan meliputi semua jalan raya di Malaysia, atau hanya bagi kawasan tertentu. Jika hanya bersifat selektif, berkemungkinan dapatan atau kesimpulan tidak tepat.

Yang tidak menyeronokkan, kajian oleh firma Zutobi itu pada Mei meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 10 negara paling berbahaya untuk pemanduan. Negara lain antaranya Thailand, India, Argentina, Amerika dan Afrika Selatan.

Namun angka kematian jalan raya yang berkaitan dengan alkohol di Malaysia adalah paling rendah iaitu hanya 0.1 peratus. Namun ia bukan bermakna aspek ini harus ambil ringan kerana banyak kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk, selain di bawah pengaruh dadah.

Menyentuh aspek jalan raya yang dianggap kurang baik, memang terdapat banyak bahagian jalan Persekutuan seluruh negara, juga lebuh raya tertentu, dalam keadaan tidak memuaskan dan membahayakan pengguna.

Antara masalah ketara ialah jalan berlopak, berlubang atau mendap. Kerosakan ini jika dibiarkan terlalu lama akan mengundang kemalangan.

Terlanggar lubang atau lopak menyebabkan kenderaan sukar dikawal. Bagi penunggang mosikal, kebarangkalian untuk jatuh dan cedera parah amat tinggi. Lebih malang jika ketika terjatuh ada kenderaan lain tidak sempat mengelak lalu melanggarnya. Kereta juga jika terlanggar lopak boleh terbabas menyebabkan kemalangan.

Kerja membaiki jalan rosak atau berlopak mesti dilakukan dengan teliti. Terdapat keadaan di mana kerja-kerja tersebut tidak dijalankan dengan sempurna. Lubang dan lopak sekadar ditampal, tetapi tidak ditampal dengan elok dan kemas.

Tampalan ini tidak rata agar dengan permukaan jalan sedia ada, membahayakan pemandu kerana melanggar permukaan tinggi rendah boleh menyebabkan kemalangan.

Lebuh raya di Malaysia pada umumnya dikawal selia dengan baik, lebih baik daripada jalan persekutuan. Tetapi apabila berpeluang melalui Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) menghubungan Gerik dan Jeli di Kelantan, dan sebaliknya, perhatikan permukaan jalan di sepanjang lebuh raya itu.

Hampir di sepanjang lebuh raya berkenaan, permukaan jalannya kasar sehingga kadang-kadang dirasakan seperti batu kerikil yang ditar. Keadaan ini sangat tidak selesa kepada pengguna. Juga terdapat banyak tampalan tidak rata, menambah buruk permukaan jalan.

Sudah banyak kemalangan maut berlaku di lebuh raya timur barat. Kerana itu amat penting lebuh raya ini diperbaiki dan disenggara sebaik-baiknya bagi melancarkan perjalanan dan keselamatan orang ramai. Kerana ia lebuh raya persekutuan, tugas terletak di bahu Jabatan Kerja Raya atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Atau mungkin kerajaan negeri Perak dan Kelantan boleh berganding bahu memperbaikinya di bahagian negeri masing-masing. Kerajaan Perak pernah menyatakan walau pun ia di bawah bidang kerajaan pusat, ia sedia memperbaiki jalan di bahagian negeri itu memandangkan sudah banyak rungutan diterima mengenai keadaan teruk lebuh raya tersebut. Kerajaan Kelantan boleh berbuat perkara sama.

Yang penting, jalan di Malaysia mesti sentiasa dalam keadaan terbaik. Selain keselesaan dan keselamatan untuk pengguna, ia akan memberi gambaran baik kepada negara luar mengenai sistem jalan raya di negara ini. Hapuskan andaian jalan di Malaysia berbahaya.

# Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*