2 pergeseran yang harus ditangani kerajaan

2 pergeseran yang harus ditangani kerajaan . Saya percaya sebaik sahaja anda membaca tulisan ini telah berlegar di ruang maya mahupun di dada akhbar serta kaca televisyen ulasan tentang Bajet 2023 yang dibentang oleh menteri kewangan pada Jumaat lalu.

Baik penganalisis ekonomi yang dilihat pro kerajaan atau yang mengkritik seperti pembangkang, malah yang ‘neutral’ juga telah menghujahkan pandangan menurut sisi mereka.

Sama ada bajet ini baik untuk rakyat dalam menghadapi getir turun-naik ekonomi tahun hadapan atau bajet ini memang dirancang sebagai gula-gula pilihan raya ternyata kita tidak boleh kesampingkan idea-idea pakar ekonomi ini.

Kita harus melihat dari segenap sisi pro dan kontra idea ini supaya kita harus lebih bersedia. Bak kata orang, ketika kemarau kita memang mengharapkan hujan akan tetapi kita tetap tidak dapat menolak selut dan becaknya sekali. Ini datang dengan pakejnya. Semua ini wajar diambil kira. Payung mesti kita sedia.

Pembentangan bajet oleh kerajaan ini merupakan acara tahunan negara untuk kita segenap lapisan rakyat perhatikan tidak kiralah sama ada mereka itu benar-benar memahami keseluruhan isi pembentangan ataupun mereka hanya menanti insentif-insentif yang bakal mereka nikmati sahaja.

Di sinilah terbahagi dua antara kita sebagai rakyat. Satu golongan pembayar cukai yang berasa banyak menyumbang tetapi kurang dapat balasan manakala satu lagi golongan berpendapatan kecil yang menerima banyak manfaat. Inilah pergeseran yang harus ditangani oleh kerajaan melalui dasar-dasar mereka. Berpendapatan tinggi di bandar tetap perit berbanding berpendapatan sederhana di kampung yang kos sara hidupnya masih rendah sebab tidak terlibat dengan bebanan ‘mesti tempuh’ di bandar seperti kos sewa rumah, tol, parkir, yuran pusat penjagaan anak dan sebagainya.

Walaupun begitu di kampung ada dilemanya juga terutama musim tengkujuh ini di mana hasil pencarian petani, penoreh getah dan nelayan terjejas. Skim bantuan dan insentif yang dinaikkan masih tidak membantu kerana harga barang juga turut naik akibat kesan kejatuhan nilai matawang yang amat buruk mutakhir ini. Ibarat kita menuang air yang banyak di tempayan tetapi bawah tempayan ada lubang yang besar. Air yang keluar pun sama laju.

Itulah maksud selut, becak dan payung yang saya khabarkan awal tadi. Dalam kita mengkritik bajet kerajaan, lihat pula diri kita sendiri. Apakah kita ada bajet bulanan atau tahunan di dalam rumah kita sendiri? Berdisiplin kah kita dalam berbelanja? Apakah kita ikut bajet yang kita rangka atau tidak? Entah-entah kita tak pernah buat bajet pun bila dapat gaji. Selesai bayar bil bulanan dan hutang, kita belanja ikut suka sahaja tanpa perancangan.

Kita adalah menteri kewangan kepada diri kita sendiri dan ahli keluarga dalam rumah. Tanpa disiplin merancang, bajet dalam rumah akan gagal. Apabila gagal mulalah kita berhutang untuk menampung perbelanjaan. Makanya kita telah gagal menjadi menteri kewangan dalam rumah.

Andai gagal kita sebagai menteri kewangan dalam rumah maka gagal jugalah ‘kerajaan’ kita. Kegagalan kerajaan dalam inilah paling bahaya dan mesti kita elak dari berlaku!

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*