“Skodeng’ sekurang-kurangnya dua kali akan dianggap ‘jenayah’ bermula Disember ini

“Skodeng’ sekurang-kurangnya dua kali akan dianggap ‘jenayah’ bermula Disember ini.  Bermula Disember tahun ini, mengintip atau menghendap seseorang “sekurang-kurangnya dua kali” adalah satu kesalahan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun di bawah rang undang-undang anti jenayah intip dan hendap, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin.

Rang undang-undang itu dijangka akan dibentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Oktober dan Mas Ermieyati (atas, kanan) berkata, buat pertama kali di Malaysia, mengintip seseorang secara fizikal atau maya berulang kali adalah satu jenayah.

Dia berkata rang undang-undang itu mentakrifkan “berulang kali” sebagai “sekurang-kurangnya dua kali”.

Mas Ermieyati berkata demikian kepada pemberita selepas libat urus terbarunya dengan pertubuhan masyarakat sivil sebelum RUU itu melalui pembentangan kedua di Dewan Rakyat.

Antara yang hadir pada pertemuan itu ialah timbalan pendakwa raya Zilfinaz Abbas dan seorang mangsa intip yang telah mengalami gangguan daripada bekas teman lelakinya selama lebih tiga tahun.

Zilfinaz Abbas

“Sekiranya kedua-dua dewan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) meluluskan rang undang-undang itu pada bulan Oktober, kemungkinan ia akan berkuat kuasa pada Disember,” tambah Mas Ermieyati.

Mas Ermieyati

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata undang-undang itu digubal dengan cara yang memberi ruang kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan untuk memadankan unsur pembuktian sebagai kesalahan jenayah.

Dengan itu, pesalah juga boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak menetapkan jumlah denda dan Mas Ermieyati menjelaskan perkara itu diserahkan kepada budi bicara mahkamah.

Perlu diingat bahawa undang-undang itu berkuat kuasa selepas kerajaan memperkenalkan pindaan kepada Akta 574 yang menangani isu-isu seperti ugutan jenayah, penghinaan dan kegusaran.

Dengan pengenalan Seksyen 507A kepada undang-undang tersebut, ia kini akan menjadikan mengintip dan menghendap sebagai satu kesalahan.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata, “Penerangan dibiarkan terbuka untuk membolehkan unsur-unsur pembuktian dalam setiap kes dipadankan sebagai kesalahan di bawah Akta ini”.

Tambahnya, rang undang-undang itu juga akan memperkenalkan perintah perlindungan yang boleh dikeluarkan oleh mahkamah, dengan mengambil kira permintaan mangsa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*