Polis Thailand mengedarkan gambar mangsa kes culik di Tumpat, dekat sini, ke 19 balai polis di Wilayah Narathiwat bagi membantu mengesan wanita itu.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Wan Seman Wan Salleh, berkata gambar seorang suspek lelaki turut diedarkan dan usaha berkenaan dijalankan bagi membantu polis Kelantan yang mengesyaki mangsa diculik dan dilarikan ke Thailand.
“Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan wanita yang juga ejen kosmetik berusia 36 tahun yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 Sept lalu.
“Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terlibat menculik wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Wan Seman berkata, operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.
Beliau berkata, beberapa siri serbuan telah dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa.
“Polis Thailand juga telah memaklumkan mengenai kes tersebut di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipatgandakan usaha.
- Turut baca : Polis terdiam wanita laung takbir ketika ditahan tak pakai helmet, ini terjadi selepas itu
“Operasi ini juga melibatkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan,” katanya dan menambah gambar mangsa dan suspek turut diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.
Dalam kejadian 13 Sept lepas, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ejen kosmetik diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat kira-kira 5.10 petang.
Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.
Leave a Reply